BH Online
Ringkasan Berita

Trump tangguh serangan besar, beri ruang rundingan dengan Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan masih belum membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran, ketika konflik yang berlarutan selama hampir lima bulan itu semakin melebar ke rantau Asia Barat.
Trump tangguh serangan besar, beri ruang rundingan dengan Iran

Presiden AS, Donald Trump. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan masih belum membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran, ketika konflik yang berlarutan selama hampir lima bulan itu semakin melebar ke rantau Asia Barat.

Pada masa sama, Arab Saudi dilaporkan melancarkan serangan ke atas kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman susulan ancaman terhadap laluan perkapalan di Laut Merah.

Trump berkata, buat masa ini sebarang operasi ketenteraan berskala besar ditangguhkan kerana mendakwa Tehran kini menunjukkan kesungguhan untuk meneruskan rundingan dengan Washington.

"Belum lagi. Kami sedang berbincang dengan mereka sekarang.

"Saya fikir mereka semakin serius dari hari ke hari, mungkin atas sebab yang semua orang sudah tahu," katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, semalam.

Trump berkata, Iran hanya mempunyai dua pilihan iaitu mencapai persetujuan atau berdepan serangan pada tahap jauh lebih besar, selepas hampir dua minggu serangan AS menyebabkan gencatan senjata yang pernah dipersetujui gagal dipertahankan.

Konflik yang sebelum ini diramalkan Trump akan berakhir dalam tempoh empat hingga lima minggu kini menghampiri bulan kelima, sekali gus memberi tekanan terhadap kadar sokongannya menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada November depan.

Trump turut mengakui belum menetapkan titik penentu untuk meluluskan serangan lebih besar, namun menegaskan 'garisan merah' pentadbirannya ialah jika Iran didapati hampir memiliki senjata nuklear.

Washington menyatakan serangan ketenteraan itu bertujuan menghalang Iran daripada menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang penting kepada perdagangan minyak dunia.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan ke atas beberapa pangkalan tentera AS yang mengorbankan empat anggota perkhidmatan negara itu.

Tentera Iran pula mendakwa mereka melancarkan serangan terhadap aset ketenteraan AS di Bahrain, Jordan dan Kuwait sebagai tindak balas kepada serangan terbaharu Washington.

Sementara itu, media kerajaan Iran melaporkan Pengawal Revolusi Iran mendakwa mereka turut menyasarkan sebuah pusat data milik Amazon di Bahrain.

Namun begitu, syarikat teknologi itu dan kerajaan Bahrain masih belum mengulas dakwaan berkenaan, manakala AS juga belum mengesahkan sebarang serangan terhadap kemudahan atau anggota tenteranya.

Di Bahrain, siren amaran kembali dibunyikan awal pagi tadi dengan Kementerian Dalam Negeri negara itu menggesa orang ramai bertenang dan segera menuju ke lokasi perlindungan yang selamat.

Trump pada masa sama menegaskan China dan Russia tidak membekalkan senjata kepada Iran walaupun terdapat laporan mendakwa kedua-dua negara itu menyalurkan maklumat risikan kepada Tehran bagi membantu menyasarkan kepentingan AS.

"Presiden Xi Jinping berkata beliau tidak akan terbabit dan Presiden Vladimir Putin juga menyatakan perkara sama.

"Saya percaya kepada mereka. Saya tidak fikir mereka mahu mengecewakan saya," katanya.

Dalam perkembangan diplomatik, Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi di Kyrgyzstan.

Menurut agensi berita Xinhua, Wang menggesa rundingan disambung semula secepat mungkin selain melaksanakan memorandum persefahaman yang bertujuan meredakan ketegangan di Asia Barat dan rantau Teluk.

"Pintu rundingan yang sudah dibuka tidak seharusnya ditutup, selagi masih ada harapan untuk mencapai keamanan," kata Wang.

Dalam perkembangan lain, konflik itu turut merebak ke Yaman apabila kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan terhadap kapal tangki minyak di laluan Laut Merah selepas mengisytiharkan sekatan maritim ke atas Arab Saudi.

Sebagai tindak balas, Arab Saudi melancarkan serangan ke atas bandar pelabuhan Hodeida yang dikuasai Houthi, menurut media pemberontak.

Manakala satu sumber keselamatan turut mengesahkan sasaran Houthi telah diserang.

Ketegangan itu tercetus selepas sebuah kapal Arab Saudi diserang beberapa hari selepas Houthi mengumumkan sekatan maritim yang dilihat mengancam keupayaan pengeksport minyak terbesar dunia itu membekalkan minyak ke pasaran global.

Situasi itu berlaku ketika Iran pada masa sama meneruskan sekatan di Selat Hormuz, satu lagi laluan maritim utama bagi Arab Saudi.Saluran televisyen Al-Masirah milik Houthi melaporkan wilayah Hodeida menjadi sasaran pencerobohan Arab Saudi, dengan penduduk memaklumkan beberapa letupan kuat kedengaran berhampiran kawasan pelabuhan.

Jurucakap pakatan yang diketuai Arab Saudi, Turki al-Maliki berkata, kumpulan Houthi menyasarkan kapal dagang di Laut Merah sebelum pakatan itu melancarkan tindak balas yang disifatkannya sebagai tegas dan berkesan.

Video Terkini

Berita Berkaitan