WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada China dan Russia supaya tidak menjual senjata kepada Iran.
Trump bagaimanapun menegaskan masih percaya dengan jaminan yang diberikan oleh Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Russia, Vladimir Putin bahawa kedua-dua negara itu tidak terbabit dalam urusan tersebut.
"Pada pandangan saya, dua negara besar yang sering dikaitkan dengan Iran itu tidak terbabit.
"Jika mereka berbuat demikian, ia akan membawa kesan yang amat buruk dan tentunya bukan demi kepentingan terbaik mereka," katanya menerusi hantaran di platform Truth Social, hari ini.
Kenyataan Trump dibuat ketika timbul laporan bahawa Washington sedang menyiasat dakwaan Moscow dan Beijing menyalurkan maklumat penentuan sasaran kepada Iran susulan beberapa siri serangan terhadap pangkalan tentera AS.
Trump berkata, Jinping memberi jaminan kepadanya ketika mereka bertemu di Beijing pada Mei lalu bahawa China tidak akan membekalkan senjata kepada Iran dalam apa jua keadaan.
"Dengan mengambil kira hubungan kami, saya percaya kepada jaminan yang diberikannya," katanya.
Trump berkata, Putin turut memberikan jaminan sama meskipun Russia masih berdepan konflik perang di Ukraine.
"Beliau (Putin) memahami bahawa saya tidak menjual senjata kepada Ukraine, sebaliknya kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Mereka membayar harga penuh dan saya tidak mengetahui bagaimana senjata itu diagihkan selepas itu," katanya.
Sejak kembali menerajui pentadbiran AS, Trump sering mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati terhadap Xi dan Putin berbanding sekutu tradisional Washington, dengan menyifatkan kedua-dua pemimpin itu wajar dihormati sebagai ketua kuasa besar dunia.
























