DELAWARE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menghadiri upacara penghormatan bagi empat anggota tentera AS yang terbunuh dalam serangan Iran di Asia Barat.
Jasad mereka dibawa pulang dalam keranda yang diselubungi bendera AS semalam dalam upacara dikenali sebagai 'pemindahan penuh penghormatan', yang berlangsung ketika tekanan terhadap perang AS-Israel dengan Iran semakin meningkat.
Trump hadir ke Pangkalan Tentera Udara Dover di Delaware untuk menyertai upacara itu.
"Kita akan menghormati mereka. Bagi saya, ini antara perkara paling sukar dilakukan sebagai presiden. Tetapi ia perlu dilakukan," katanya sebelum berlepas ke lokasi berkenaan.
Apabila ditanya mengenai mesej kepada keluarga anggota tentera yang terkorban, Trump berkata: "Kami menyayangi kamu. Kami menyayangi anak kamu. Mereka juga adalah anak-anak kami dan tiada apa yang boleh menggantikan mereka".
Upacara penghormatan seperti itu sering dihadiri presiden, naib presiden dan pegawai kanan AS di Dover, yang menempatkan pusat pengurusan jenazah tentera terbesar negara itu, ketika berlaku peperangan atau konflik.
Tiga anggota tentera AS yang terbunuh selepas peluru berpandu Iran mengenai tempat tidur mereka di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, Jordan pada 17 Julai ialah Leftenan Pertama Tyler James Feehan, 25; Sarjan Angel S Rampersad, 28; dan Prebet Isabella Gonzales, 19.
Ketiga-tiga mereka adalah anggota briged pertahanan udara Tentera Darat AS.
Anggota keempat, Sarjan Michael Emmanuel Swinton, 30, maut pada 19 Julai dalam insiden berasingan di Erbil, Iraq, ketika operasi memusnahkan dron serangan secara terkawal.
Konflik di Asia Barat itu menelan kos sekurang-kurangnya AS$37.5 bilion (kira-kira RM153 bilion) wang pembayar cukai AS, selain menyebabkan 18 anggota tentera AS terbunuh dan lebih 450 lagi cedera. Ribuan rakyat Iran turut dilaporkan terbunuh.
Ahli politik daripada Parti Republikan dan Demokrat mempersoalkan konflik itu yang turut menyebabkan harga minyak dunia meningkat serta masih belum menunjukkan tanda berakhir.
Sejak perang bermula pada Februari lalu, Trump dilaporkan beberapa kali mengubah matlamat AS dalam konflik berkenaan.
Pentagon berkata pada 20 Julai bahawa 100 anggota tentera cedera sejak 7 Julai, namun 96 peratus daripada mereka sudah kembali bertugas.
Tinjauan Reuters/Ipsos bulan ini mendapati empat daripada lima rakyat AS menjangka perang itu berlanjutan untuk tempoh panjang.
Bagaimanapun, hanya 37 peratus responden menyokong serangan ketenteraan AS terhadap Iran.
Tahap sokongan terhadap Trump turut merosot sejak konflik bermula, dengan beberapa pemimpin Republikan memberi amaran bahawa peningkatan kos sara hidup boleh menjejaskan sokongan politik terhadap pentadbirannya.
Kenaikan harga petrol dan kebimbangan terhadap kos sara hidup dijangka menjadi cabaran kepada Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Parti itu berdepan risiko kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan dan kemungkinan kawalan terhadap Senat. – REUTERS
























