BH Online
Ringkasan Berita

10 orang terkorban dalam kebakaran di Lima, Peru

LIMA: Sepuluh orang maut termasuk kanak-kanak dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di kawasan berpendapatan rendah di sini, menurut pihak pertahanan awam Peru semalam.
10 orang terkorban dalam kebakaran di Lima, Peru

Pemandangan dari udara menunjukkan sebuah rumah di kawasan kejiranan berpendapatan rendah di Lima, Peru, yang terbakar sehingga mengorbankan 10 nyawa. - Foto AFP

LIMA: Sepuluh orang maut termasuk kanak-kanak dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di kawasan berpendapatan rendah di sini, menurut pihak pertahanan awam Peru semalam.

Menurut keluarga mangsa, lima daripada mereka yang maut adalah orang dewasa, manakala lima lagi kanak-kanak.

Institut Pertahanan Awam Kebangsaan (INDECI) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, dua lagi mangsa cedera dalam kejadian itu.

Ketua polis, Oscar Arriola, mengesahkan sembilan daripada mangsa yang maut adalah daripada satu keluarga, termasuk lima kanak-kanak.

"Siasatan bagi menentukan lokasi asal kebakaran, keadaan kejadian dan puncanya sedang dijalankan," katanya kepada pemberita.

Media Peru melaporkan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada tindakan kumpulan pemeras ugut yang menyasarkan perniagaan berhampiran.

Ketua penyiasat, Kolonel John Lujan, berkata kemungkinan kebakaran itu dilakukan dengan sengaja atau berkaitan kegiatan pemerasan antara punca yang sedang disiasat.

Mangsa terselamat, Gina Vilchez, berkata beliau berjaya menyelamatkan diri bersama anak-anaknya dengan keluar dari rumah ketika api marak.

"Kami seramai 17 orang. Sepuluh sudah meninggal dunia dan tujuh daripada kami berjaya diselamatkan," katanya.

Ahli keluarga turut menunjukkan gambar dan video kepada media yang memaparkan usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kebakaran.

Presiden terpilih Peru, Keiko Fujimori, melawat lokasi kejadian semalam dan menyifatkan tragedi itu sebagai pembunuhan yang amat dahsyat.

"Apa yang rakyat mahukan ialah ketenteraman dan keselamatan, dan itulah perkara pertama yang akan kami lakukan minggu depan," katanya kepada media. – AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan