WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan ia melancarkan gelombang baharu serangan yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan Iran, menandakan malam ke-12 berturut-turut negara itu menyerang Iran.
"Pada jam 5.30 petang waktu Timur (ET) hari ini (semalam), pasukan AS mula melancarkan lebih banyak serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran atas arahan Panglima Tertinggi.
"Misi ini akan diteruskan bagi terus melemahkan keupayaan Iran mengancam pelaut awam dan kapal dagang yang melalui perairan serantau," menurut Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM).
Sehubungan itu, Dewan Perwakilan AS meluluskan rangka kerja belanjawan bernilai AS$95 bilion (RM445 bilion) pada Rabu, dengan sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada Pentagon bagi membiayai peperangan menentang Iran.
Usul itu diluluskan dengan majoriti tipis menerusi undian 216-214 dan kini dibawa ke Senat, di mana nasibnya masih belum pasti.
Pelan berkenaan memperuntukkan AS$73 bilion (RM342 bilion) kepada angkatan tentera dan agensi perisikan, khususnya bagi membiayai operasi berkaitan perang terhadap Iran.
Selain itu, AS$12 bilion (RM56 bilion) disalurkan sebagai bantuan kepada petani yang terjejas akibat perang perdagangan Presiden AS, Donald Trump.

Sebanyak AS$10 bilion (RM47 bilion) lagi diperuntukkan bagi program berkaitan pilihan raya.
Ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha Trump melaksanakan sekatan baharu pengundian di seluruh negara, ketika rang undang-undang (RUU) lebih luas dikenali sebagai 'SAVE America Act' masih belum memperoleh sokongan mencukupi untuk diteruskan.
Pakej belanjawan itu adalah usaha perundangan utama terakhir parti berkenaan sebelum pilihan raya pertengahan penggal pada November, yang keputusannya akan menentukan sama ada parti itu dapat mengekalkan majoriti di Kongres dan seterusnya terus membentuk hala tuju baki penggal kedua pentadbiran Trump.
Resolusi itu, yang ketika ini hanya rangka kerja belanjawan, akan membolehkan Republikan di Dewan Perwakilan – sekiranya diluluskan Senat – menggubal perundangan terperinci pada penghujung musim panas ini.
Matlamatnya ialah meluluskan RUU itu di Senat dengan majoriti mudah menerusi prosedur belanjawan dipercepatkan, sekali gus mengetepikan syarat lazim 60 undi serta bantahan daripada Parti Demokrat.
Kos sara hidup di AS menjadi isu utama menjelang pilihan raya pertengahan penggal ketika inflasi terus kekal tinggi. - AFP
























