SANTIAGO: Chile mengisytiharkan darurat selepas hujan lebat luar biasa mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang serta memusnahkan lebih 1,100 kediaman di utara negara itu.
Sejak minggu lalu, hujan berterusan melanda wilayah Coquimbo dan Atacama yang lazimnya beriklim kering, dengan taburan hujan yang disifatkan sebagai luar biasa bagi kawasan berkenaan.
Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Kebangsaan Chile (SENAPRED), Alicia Cebrian, berkata setakat semalam, sekurang-kurangnya 10 orang maut, 17 lagi cedera manakala empat masih dilaporkan hilang.
Menurut angka rasmi, lebih 1,100 rumah musnah atau mengalami kerosakan teruk akibat cuaca melampau itu.
Susulan keadaan yang semakin membimbangkan, Presiden, Jose Antonio Kast mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas.

Langkah itu membolehkan kerajaan mengerahkan anggota tentera, mengehadkan pergerakan penduduk serta mempercepat penyaluran bantuan kepada mangsa.
Paras sungai yang meningkat turut memutuskan beberapa jalan dan mengasingkan komuniti setempat, manakala kejadian tanah lumpur serta gangguan bekalan elektrik menjejaskan bekalan air bersih di Coquimbo.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Maximo Pavez, berkata jumlah hujan yang lazimnya direkodkan sepanjang sebulan turun dalam tempoh hanya satu jam pada Ahad lalu.
Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai hujan 'luar biasa dan melampau'.
Sementara itu, pegawai Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Chile, Arnaldo Zuniga, berkata negara itu tidak pernah mengalami hujan seteruk itu sejak dua dekad lalu.
"Kami sudah lama tidak berdepan situasi seperti ini," katanya. — AFP
























