BH Online
Ringkasan Berita

Lebih 100 anggota Demokrat sokong usaha tamatkan bantuan ketenteraan AS kepada Israel

WASHINGTON: Lebih 100 anggota Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mengundi menyokong usaha menamatkan bantuan ketenteraan AS bernilai berbilion dolar kepada Israel bagi tahun kewangan akan datang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lebih 100 anggota Demokrat sokong usaha tamatkan bantuan ketenteraan AS kepada Israel

Bendera Amerika Syarikat. - Foto fail REUTERS

WASHINGTON: Lebih 100 anggota Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mengundi menyokong usaha menamatkan bantuan ketenteraan AS bernilai berbilion dolar kepada Israel bagi tahun kewangan akan datang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Walaupun usul itu gagal diluluskan, ia memperoleh sokongan yang jauh lebih besar berbanding usaha serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dalam satu pengundian yang dilihat sebahagian besarnya bersifat simbolik.

Cadangan pindaan oleh Wakil Republikan dari Kentucky, Thomas Massie, untuk memansuhkan bantuan ketenteraan kepada Israel bernilai kira-kira AS$3.3 bilion gagal dalam pengundian pada petang Rabu dengan 314 undi menolak berbanding 104 menyokong.

Massie adalah satu-satunya anggota Republikan yang menyokong pindaan itu, manakala bantahan meluas daripada anggota parti berkenaan memastikan cadangan itu ditolak.

Cadangan itu sebahagian daripada perbahasan Dewan Perwakilan mengenai pendanaan bagi Jabatan Negara AS dan agensi keselamatan negara.

Daripada 215 anggota Demokrat di Dewan Perwakilan, seramai 103 mengundi menyokong pindaan itu manakala 10 berkecuali, bermakna hampir separuh daripada anggota parti berkenaan menyokong usaha menamatkan bantuan ketenteraan kepada Israel.

Dalam pengundian serupa lebih dua tahun lalu, hanya 37 anggota Demokrat menyokong pengurangan bantuan itu, menurut CNN dan Politico.

Pengundian itu memperlihatkan perpecahan yang semakin ketara dalam Parti Demokrat berhubung dasar AS terhadap Israel. Walaupun kepimpinan parti terus menyokong bantuan ketenteraan, sayap progresif semakin lantang menggesa supaya bantuan kewangan itu dihentikan, dengan sering menjadikan perang di Gaza sebagai alasan. – BERNAMA-dpa

TAG: AS, Demokrat, bantuan ketenteraan, Israel, Thomas Massie, Gaza

Video Terkini

Berita Berkaitan