WASHINGTON: Parasit yang menyebabkan cirit-birit teruk kini menjangkiti ribuan orang di 34 negeri Amerika Syarikat (AS), menurut pihak berkuasa kesihatan persekutuan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Lebih 1,600 kes siklosporiasis yang disahkan telah direkodkan, manakala 5,100 lagi kes disyaki pula sedang disiasat, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS di Washington pada lewat Selasa.
Berikutan penyakit itu sering tidak didiagnosis atau tidak dilaporkan, bilangan sebenar jangkitan mungkin jauh lebih tinggi.
Agensi itu sedang menyiasat sama ada rangkaian makanan segera, Taco Bell, berkemungkinan memainkan peranan dalam wabak itu, lapor Washington Post.
Taco Bell mengeluarkan daun salad dan beberapa bahan lain daripada menu di sesetengah lokasi, minggu lalu.
Michigan muncul sebagai pusat wabak dengan lebih 3,300 kes disahkan dan berkemungkinan dilaporkan, kata pegawai kesihatan negeri.
Berdasarkan bukti semasa, daun salad yang tercemar dengan parasit mungkin menjadi punca wabak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan di negeri berkenaan.
CDC berkata, parasit secara amnya disebarkan melalui makanan atau air tercemar dengan najis dan bukannya dari manusia ke manusia.
Ia menjangkiti usus kecil dan menyebabkan diarea berair dengan pembuangan air besar yang kerap dan kadangkala memancut.
Wabak siklosporiasis biasanya berlaku pada bulan-bulan musim panas.
























