BH Online
Ringkasan Berita

Saintis membentuk DNA embrio manusia dengan lebih tepat, cetus perdebatan

NEW YORK: Sekumpulan saintis dari Universiti Columbia mendakwa berjaya membentuk DNA embrio manusia awal dengan tahap ketepatan yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Saintis membentuk DNA embrio manusia dengan lebih tepat, cetus perdebatan

Gambar hiasan. - Foto REUTERS

NEW YORK: Sekumpulan saintis dari Universiti Columbia mendakwa berjaya membentuk DNA embrio manusia awal dengan tahap ketepatan yang belum pernah dicapai sebelum ini.

Kejayaan itu membuka kemungkinan teknologi terbabit digunakan pada masa depan untuk menghasilkan bayi dengan ciri-ciri tertentu.

Pencapaian itu bagaimanapun segera mencetuskan perdebatan etika dan moral di seluruh dunia mengenai had campur tangan manusia terhadap genetik bayi.

Pasukan penyelidik diketuai ahli genetik, Dieter Egli, menggunakan teknologi baharu dikenali sebagai 'base editing' yang membolehkan saintis menggantikan huruf genetik tertentu dalam DNA secara lebih tepat tanpa menyebabkan kerosakan besar seperti yang sering berlaku dalam teknologi CRISPR sebelum ini.

Egli berkata teknologi itu berpotensi membantu ibu bapa membaiki mutasi genetik yang menyebabkan penyakit keturunan pada embrio.

Namun beliau turut mengakui teknologi itu masih menimbulkan banyak persoalan mengenai keselamatan dan implikasi jangka panjang.

"Sebagai saintis, kami hanya menyediakan data untuk perbincangan. Selepas itu, masyarakat dan pihak lain perlu menentukan hala tuju penggunaannya," katanya.

Beliau menegaskan penyelidikan itu belum bersedia digunakan di klinik kesuburan. Kajian itu kini sedang dinilai untuk diterbitkan dalam jurnal saintifik.

Perdebatan mengenai penyuntingan DNA embrio manusia sebenarnya sudah bermula lebih sedekad lalu selepas teknologi CRISPR diperkenalkan pada 2012.

Teknologi itu membolehkan saintis memotong bahagian DNA tertentu untuk mengubah gen manusia.

Walaupun CRISPR menjadi alat penting dalam penyelidikan perubatan dan rawatan penyakit genetik, saintis mendapati ia kadangkala memotong bahagian DNA yang salah atau menyebabkan kerosakan besar pada kromosom. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan