BAMAKO: Kumpulan pemberontak yang dipimpin etnik Tuareg mendakwa menyerang sebuah bandar di utara Mali hari ini, yang menempatkan tentera kerajaan dan pasukan separa tentera Russia.
Selain itu, penduduk di dua lagi kawasan di utara serta tengah negara itu melaporkan kedengaran bunyi tembakan dan letupan.
Serangan itu adalah ancaman terbaharu terhadap kerajaan yang diterajui pihak tentera selepas kumpulan pemberontak melancarkan beberapa serangan berprofil tinggi pada April lalu.
Antaranya termasuk menyerang lapangan terbang di ibu negara, Bamako, membunuh menteri pertahanan serta menawan beberapa pangkalan tentera di utara.
Jurucakap Barisan Pembebasan Azawad (FLA), Mohamed Elmaouloud Ramadane, berkata kepada Reuters bahawa pejuang kumpulan itu menyerang bandar Anefis di wilayah Kidal, timur laut Mali, awal pagi tadi.
Tentera kerajaan dan pasukan Russia ditempatkan di Anefis susulan serangan pada April lalu yang menyaksikan FLA bersama sekutu serantau al-Qaeda menguasai bandar Kidal.
Di bandar Gao di tengah Mali, seorang pegawai tempatan berkata bunyi tembakan dan roket yang dilepaskan ke arah sebuah kem tentera kedengaran sejak sebelum subuh tadi.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan kumpulan yang bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
Jurucakap kerajaan masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas kejadian berkenaan. -REUTERS
























