ABIDJAN (Ivory Coast): Sekurang-kurangnya 12 maut, manakala lima yang lain cedera selepas hujan lebat melanda Abidjan, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin, lapor Xinhua.
Hujan lebat yang bermula pada Ahad mencetuskan tanah runtuh dan banjir di beberapa kawasan pentadbiran tempatan di bandar terbesar negara itu.
Menurut penilaian awal Kumpulan Bomba Tentera, seramai 12 mangsa ditemukan maut tertimbus di bawah runtuhan rumah mereka di kawasan kejiranan Mossikro yang terletak di antara kawasan Yopougon dan Attecoube.
Lima mangsa yang cedera dibawa ke kemudahan perubatan untuk menerima rawatan. Pasukan penyelamat meneruskan pencarian pada Isnin untuk mengesan sekiranya terdapat mangsa lain.
Sehingga tengah hari Isnin, beberapa kawasan kejiranan di bandar itu masih ditenggelami banjir sebahagiannya, manakala jalan-jalan utama tidak dapat dilalui akibat paras air yang semakin meningkat.
Kawasan Cocody, Yopougon, Abobo, Treichville, Marcory dan Bingerville antara lokasi yang paling terjejas, menurut pegawai penyelamat dan keselamatan.
























