CONGO: Usaha mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan dua mangsa Ebola di kem penempatan Kpangba tergendala selepas petugas kesihatan dihalau penduduk yang enggan mempercayai kedua-dua wanita itu meninggal dunia akibat virus berkenaan.
Ketua Doktor Zon Kesihatan Nizi, Jean-Claude Lonzama, berkata petugas Kementerian Kesihatan wilayah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi bantuan lain tidak dapat meneruskan proses pengesanan kontak susulan bantahan penduduk.
"Sehingga hari ini, kami masih tidak dapat membuat susulan terhadap kontak rapat bagi kes terbabit," katanya kepada Reuters, semalam.
Kebuntuan itu menyukarkan pihak berkuasa kesihatan mengekang penularan Ebola di kem yang menempatkan kira-kira 30,000 penduduk, kebanyakannya melarikan diri daripada keganasan antara etnik di kawasan sekitar.
Lonzama berkata terdapat 22 lokasi penempatan penduduk dipindahkan di Zon Kesihatan Nizi yang dihuni sekitar 81,124 orang.
"Keadaan ini amat membimbangkan kerana tiada langkah pencegahan dilaksanakan di lokasi berkenaan selain beberapa mesej pendidikan kesihatan," katanya.
Sejak wabak itu diisytiharkan sebulan lalu, beberapa pusat rawatan diserang penduduk yang berang kerana tidak dibenarkan mengebumikan ahli keluarga mengikut kebiasaan susulan langkah pencegahan penularan virus, selain ada yang percaya Ebola hanyalah rekaan.
Petugas bantuan bimbang Ebola boleh merebak dengan pantas di kem penempatan seperti Kpangba, apabila ratusan penduduk terpaksa berkongsi satu tandas dan amalan buang air besar di tempat terbuka masih berleluasa, sekali gus meningkatkan risiko penularan wabak yang kini antara yang terbesar pernah direkodkan di dunia.
Lebih lima juta penduduk dipindahkan di tiga wilayah yang terjejas akibat wabak itu, iaitu Ituri, South Kivu dan North Kivu, yang sekian lama dilanda konflik.
Di Kpangba serta kawasan bandar dan luar bandar lain di timur Republik Demokratik Kongo yang merekodkan kes Ebola, petugas kesihatan turut berdepan masalah ketidakpercayaan mendalam masyarakat terhadap kerajaan dan pihak luar ketika berusaha membendung penularan wabak itu.
Kematian di kem Kpangba berlaku pada 31 Mei dan 1 Jun lalu, namun hanya didedahkan kepada umum menerusi laporan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) yang dilaporkan pada Khamis.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Kongo yang dilihat Reuters, mangsa pertama ialah seorang wanita berusia 60 tahun di kem berkenaan yang disahkan positif Ebola pada 30 Mei.
Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan melarikan diri dari pusat kuarantin sebelum dapat dikesan semula oleh pihak berkuasa kesihatan. - REUTERS
























