BH Online
Ringkasan Berita

Jumlah kes Ebola meningkat di Congo

GOMA: Republik Demokratik Congo semalam memaklumkan jumlah kes Ebola yang disahkan meningkat kepada hampir 600 kes, sekali gus meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan mengenai kepentingan mematuhi langkah keselamatan.
Jumlah kes Ebola meningkat di Congo

Pandangan udara dari helikopter PBB menunjukkan penempatan kediaman dan jalan tanah, ketika agensi bantuan memperhebatkan usaha untuk membendung wabak Ebola yang melibatkan strain Bundibugyo di pinggir Mongbwalu, Wilayah Djugu di wilayah Ituri yang merupakan pusat wabak Ebola, Republik Demokratik Congo. - Foto REUTERS

GOMA: Republik Demokratik Congo semalam memaklumkan jumlah kes Ebola yang disahkan meningkat kepada hampir 600 kes, sekali gus meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan mengenai kepentingan mematuhi langkah keselamatan.

Wabak Ebola daripada strain Bundibugyo diumumkan pada 15 Mei lalu, namun pegawai kesihatan kemudian memaklumkan bahawa penularannya tidak dikesan selama beberapa minggu, menyebabkan pihak berkuasa kesihatan ketinggalan dalam usaha mengawal wabak itu dan bergelut untuk membendungnya.

Salah satu wabak Ebola terbesar pernah direkodkan di dunia kini sedang berlaku di tiga wilayah yang sekian lama dibelenggu konflik bersenjata, iaitu Ituri, North Kivu dan South Kivu.

Dalam kenyataan terbaharu yang disiarkan di platform X, kerajaan Congo memaklumkan jumlah kes Ebola yang disahkan meningkat kepada 598 kes, termasuk 115 kematian.

Kerajaan turut memaklumkan bahawa 22 pesakit sudah pulih daripada penyakit itu dan kes baharu tidak merebak ke lebih banyak zon kesihatan.

Kes berkenaan direkodkan di 17 zon kesihatan di Ituri, selain tujuh zon kesihatan di North Kivu dan satu zon kesihatan di South Kivu.

"Jika anda mengalami demam, muntah, cirit-birit atau kelemahan yang teruk, anda perlu segera mendapatkan rawatan di pusat kesihatan terdekat," menurut kenyataan itu, sambil menggesa penduduk supaya mematuhi arahan petugas kesihatan dan tidak menyerang mereka.

Sikap tidak percaya serta penentangan dalam kalangan masyarakat menjejaskan usaha membendung wabak itu, dengan serangan terhadap pasukan pengurusan pengebumian dan pusat rawatan dilaporkan berlaku.

Petugas perubatan juga bergelut untuk mendapatkan peralatan asas bagi melindungi diri serta mencegah penularan lanjut penyakit itu, menurut beberapa doktor, pekerja kemanusiaan dan pegawai kesihatan awam.

Kumpulan bantuan International Rescue Committee semalam menggesa pembiayaan segera disalurkan bagi membendung wabak itu di wilayah Ituri sebelum ia merebak dengan lebih meluas.

Video Terkini

Berita Berkaitan