KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) kekal prihatin terhadap beban operasi serta-merta yang perlu ditanggung perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan susulan pelaksanaan kadar tarif import baharu sebanyak 10 peratus oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974, yang mula berkuat kuasa hari ini.
Presidennya, Datuk William Ng, berkata adalah penting untuk dijelaskan bahawa tarif Seksyen 301 ini adalah penalti kawal selia jurang import di peringkat negara berhubung mekanisme penguatkuasaan nasional, dan bukannya mencerminkan ketidakpatuhan operasi oleh pengeksport secara individu.
Namun, beliau berkata, berikutan tarif itu diguna pakai secara menyeluruh merentasi kategori eksport negara, PMKS yang patuh dan telah melabur secara konsisten bagi memenuhi standard buruh antarabangsa serta amalan ESG kini turut terkesan secara tidak langsung.
Menurutnya, sebahagian besar pengeksport PMKS beroperasi dengan marjin keuntungan yang amat nipis sebagai pembekal dalam rantai nilai global.
Justeru, beliau berkata, pengenalan tarif 10 peratus itu meletakkan perniagaan kecil dalam situasi mencabar memandangkan PMKS yang terjejas perlu memilih sama ada menyerap kos duti tambahan yang boleh menjejaskan aliran tunai penting atau menaikkan harga eksport yang berisiko menyebabkan pembeli di AS beralih ke pasaran pesaing.
Tambahnya, sektor pembuatan hiliran, pembekal kejuruteraan persis, pemproses kayu dan perabot, serta pembuat barangan elektronik ringan adalah antara yang paling terdedah kepada tekanan harga itu.
"Sehubungan itu, SAMENTA memohon pertimbangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memperkenalkan langkah intervensi sasaran bagi menyokong pengeksport tempatan.
"Ini merangkumi penyediaan geran pemadanan kepelbagaian eksport khusus; menerusi penambahbaikan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) sedia ada atau skim tambahan, bagi membantu PMKS menampung kos penembusan pasaran dan pensijilan kawal selia di pasaran alternatif.
"Pada masa sama, sokongan kewangan dalam bentuk dana bersama pengauditan amat diperlukan bagi membantu PMKS mengekalkan dokumentasi pematuhan buruh yang teratur," katanya dalam satu kenyataan.
Ng berkata, SAMENTA turut berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan dalam mempromosikan penggunaan Pensijilan Ekonomi Kitaran (CEC) di peringkat nasional, iaitu skim pensijilan pertama seumpamanya di rantau ASEAN.
Beliau berkata, menerusi penerapan amalan ekonomi kitaran, PMKS dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan mentah, menjimatkan kos tenaga, membina kredibiliti ESG yang sah, serta memperkukuh ketahanan perniagaan terhadap keperluan pematuhan global yang kian ketat.
Katanya, SAMENTA juga berharap kerajaan dapat mempercepatkan pembentukan kerangka perundangan berkaitan larangan import barang dari negara ketiga yang dikaitkan dengan isu buruh paksa.
"Usaha menangani jurang kawal selia import ini adalah langkah mendasar yang penting bagi membolehkan Malaysia dikeluarkan secara kekal daripada senarai Seksyen 301 USTR.
"Langkah ke hadapan, SAMENTA kekal komited untuk terus bekerjasama secara membina dengan agensi kerajaan dan rakan dagang demi memelihara daya saing PMKS tempatan serta melindungi peluang pekerjaan di negara kita," katanya.
























