KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) dan Yayasan Hijrah Selangor (YHS) memperkukuh kerjasama strategik menerusi Program iTEKAD dengan menyasarkan seramai 1,000 usahawan mikro menerima manfaat menjelang Disember 2027.
Menerusi kerjasama itu, YHS akan mengenal pasti usahawan yang layak menyertai Program iTEKAD selain menyediakan kemudahan pembiayaan mikro, latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan, program literasi kewangan serta sokongan pemasaran digital.
Bank Muamalat pula akan menyalurkan geran iTEKAD sebagai modal permulaan bagi membantu usahawan mendapatkan peralatan dan kelengkapan perniagaan, selain menyediakan latihan serta pemantauan bagi memperkukuh kapasiti dan daya saing peserta.
Sejak Disember 2025 hingga Jun 2026, seramai 200 usahawan di bawah YHS telah diluluskan menyertai Program iTEKAD dengan jumlah geran keseluruhan bernilai RM1 juta.
Peserta program turut menerima perlindungan takaful mampu milik daripada PruBSN Takaful bagi membantu mengurangkan risiko kewangan tidak dijangka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin, berkata bagi 2026, Bank Muamalat bersama YHS menyasarkan penyertaan 400 usahawan dalam Program iTEKAD dengan peruntukan geran berjumlah RM2 juta.
Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan Bank Muamalat dalam memperkasa usahawan menerusi pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah melengkapkan mereka dengan ilmu, kemahiran serta perlindungan kewangan.
"Program ini turut memperluaskan sokongan kepada usahawan mikro, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan asnaf di Selangor," katanya.
Selain Program iTEKAD, kedua-dua pihak turut bekerjasama melaksanakan program pensijilan halal kepada usahawan YHS yang layak bagi meningkatkan kompetensi, profesionalisme serta daya saing perniagaan.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani sempena pelancaran aplikasi Dana Plus, disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada majlis sama, Kerajaan Negeri Selangor turut melancarkan Dana Plus, platform utama penyaluran pembiayaan mikro bernilai RM32 juta seperti diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 dan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Inisiatif itu bertujuan memperluas akses kepada pembiayaan mikro, mempercepat penyampaian perkhidmatan awam serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri secara lebih mampan.
























