KUALA LUMPUR: Tekanan kos yang terus meningkat mendorong semakin banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia menjadikan pengurusan tenaga sebagai strategi utama bagi mengurangkan perbelanjaan operasi, sekali gus memperkukuh daya tahan perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Dapatan Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 menunjukkan walaupun sentimen keseluruhan perniagaan kekal positif pada tahun ini, perusahaan bersaiz lebih kecil mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan peningkatan kos operasi, kos tenaga kerja dan kadar faedah.
Kajian itu mendapati 77 peratus PKS masih mengekalkan prospek perniagaan yang positif pada 2026, namun hampir tiga daripada 10 syarikat terus berdepan tekanan peningkatan perbelanjaan operasi, sekali gus mendorong mereka memberi penekanan kepada strategi pengurusan kos yang lebih berkesan.
Seiring peningkatan kos, pengurusan tenaga kini muncul sebagai keutamaan utama dalam kalangan perniagaan, dengan kira-kira tiga daripada empat syarikat menganggap kecekapan tenaga penting bagi memastikan kelangsungan operasi.
Sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian merekodkan tahap keutamaan tertinggi apabila 84 peratus syarikat dalam sektor itu memberi fokus kepada pengurusan tenaga, diikuti usaha mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 48 peratus, menurunkan kos tenaga sebanyak 44 peratus serta memastikan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai sebanyak 40 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei, berkata tekanan kos termasuk kenaikan kos tenaga dan bahan api terus membebani kebanyakan perniagaan, menyebabkan pengurusan tenaga menjadi satu keperluan praktikal.
Beliau berkata Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026 menunjukkan tekanan kos terus memberi kesan kepada perniagaan, sekali gus menjadikan pengurusan tenaga sebagai keutamaan penting terutama bagi perusahaan sederhana yang lebih bersedia melaksanakan inisiatif kecekapan tenaga.
"Bagi syarikat lebih kecil yang menghadapi kekangan kewangan lebih ketat, inisiatif seperti Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), disokong oleh pihak kami, membolehkan kami menyediakan bantuan yang praktikal dan tepat pada masanya.
"Sokongan ini tertumpu kepada membantu pelanggan PKS mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng Wei Wei berkata UOB Malaysia turut memperkukuh sokongan pembiayaan menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM bagi membantu syarikat mengurus cabaran aliran tunai serta mengekalkan operasi ketika berdepan gangguan pasaran.
Beliau berkata bank itu kekal komited menyediakan bantuan menyeluruh serta penyelesaian kewangan bagi membolehkan PKS membina daya tahan jangka panjang dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Kajian itu turut menunjukkan kira-kira dua daripada lima perniagaan telah melaksanakan penyelesaian kos efektif seperti pemasangan panel solar serta penggunaan sistem pencahayaan cekap tenaga dan LED.
Selain itu, penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan tenaga turut mendapat perhatian dengan 48 peratus PKS berminat menggunakan penyelesaian digital untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, manakala 44 peratus memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos tenaga dan 40 peratus mahu memastikan bekalan tenaga stabil untuk operasi harian.
Dalam masa sama, kajian berkenaan menunjukkan tumpuan perniagaan kini beralih daripada mengejar pertumbuhan agresif kepada usaha memperkukuh daya tahan syarikat.
Pengurusan tenaga kini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih menyeluruh bagi memastikan kestabilan operasi, kesinambungan rantaian bekalan serta memenuhi perubahan permintaan pelanggan.
PKS yang melaksanakan strategi kepelbagaian pembekal, pengembangan pasaran serantau dan pembuatan setempat turut mengintegrasikan aspek kestabilan tenaga sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko mereka.
Kajian itu, yang memasuki tahun ketujuh pelaksanaannya, kini dijalankan dua kali setahun merentasi tujuh pasaran utama iaitu Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, China dan Hong Kong.
























