BH Online
Ringkasan Berita

AI ubah landskap kerja, PKS berpotensi raih manfaat besar

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan, telekomunikasi, pembuatan, e-dagang dan logistik kini menjadi antara industri yang paling banyak memperuntukkan perbelanjaan bagi mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) kerana berdepan jumlah transaksi yang tinggi, keperluan pematuhan yang ketat serta kos tenaga kerja yang besar.
AI ubah landskap kerja, PKS berpotensi raih manfaat besar

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Clazzy Sdn Bhd, Muhd Aqmal Afiq Adnan.

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan, telekomunikasi, pembuatan, e-dagang dan logistik kini menjadi antara industri yang paling banyak memperuntukkan perbelanjaan bagi mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) kerana berdepan jumlah transaksi yang tinggi, keperluan pematuhan yang ketat serta kos tenaga kerja yang besar.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Clazzy Sdn Bhd, Muhd Aqmal Afiq Adnan, berkata industri pembuatan serta elektrik dan elektronik (E&E) turut memainkan peranan penting memandangkan Malaysia sudah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan semikonduktor dan elektronik global yang semakin mendapat manfaat daripada pertumbuhan AI.

Beliau berkata, walaupun syarikat besar mendahului penggunaan AI, sektor yang masih kurang memanfaatkan teknologi itu sebenarnya mempunyai potensi paling besar untuk meningkatkan produktiviti.

Antara sektor berkenaan ialah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian, pendidikan, pelancongan, klinik, firma guaman, firma perakaunan, pembinaan serta peruncitan tradisional.

"PKS dan sektor perkhidmatan tradisional mungkin tidak mempunyai bajet besar untuk AI ketika ini, namun jurang produktiviti yang boleh ditingkatkan amat ketara.

"Sebuah klinik yang mengautomasikan sistem peringatan temu janji atau syarikat pelancongan yang menggunakan AI bagi khidmat pelanggan pelbagai bahasa boleh melihat impak yang pantas dan jelas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kebimbangan bahawa AI bakal menggantikan pekerjaan manusia, Muhd Aqmal berkata kebimbangan itu mempunyai asas tetapi sering disalah faham kerana AI lebih cenderung menggantikan tugasan berulang berbanding keseluruhan pekerjaan.

Beliau berkata, tugasan seperti kemasukan data, penyediaan laporan rutin, khidmat pelanggan asas, pemasaran peringkat awal, penghasilan kandungan standard dan sebahagian kerja dokumentasi dijangka mengalami perubahan paling ketara dalam tempoh lima tahun akan datang.

"AI tidak menggantikan semua pekerjaan. Sebaliknya, AI menggantikan tugasan yang berulang.

"Individu yang memahami industri masing-masing dan tahu menggunakan AI dengan berkesan akan mempunyai kelebihan besar berbanding mereka yang tidak menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi," katanya.

Dalam pada itu, Muhd Aqmal menegaskan literasi AI, pemikiran berasaskan data serta keupayaan mengenal pasti proses kerja yang boleh dipertingkatkan melalui automasi perlu menjadi kemahiran asas rakyat Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata kemahiran insaniah seperti komunikasi, kreativiti, kepimpinan, pertimbangan dan etika akan terus menjadi faktor penting yang membezakan manusia daripada teknologi, sekali gus menentukan daya saing tenaga kerja pada masa depan.

Video Terkini

Berita Berkaitan