BH Online
Ringkasan Berita

PMKS kekalkan pekerja walaupun berdepan tekanan kos - Kaji selidik

KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila 61 peratus daripadanya berhasrat mengekalkan tenaga kerja sedia ada meskipun berdepan peningkatan kos operasi.
PMKS kekalkan pekerja walaupun berdepan tekanan kos - Kaji selidik

Gambar fail. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). -NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila 61 peratus daripadanya berhasrat mengekalkan tenaga kerja sedia ada meskipun berdepan peningkatan kos operasi.

Komitmen itu diteruskan walaupun kebanyakan perniagaan masih berhadapan tekanan kos yang tinggi, terutama akibat kenaikan harga bahan mentah, kos pengangkutan, logistik serta tenaga kerja.

Daya tahan sektor itu turut dicerminkan melalui kedudukan aliran tunai yang semakin kukuh apabila 70 peratus PMKS melaporkan mempunyai simpanan tunai yang mampu menampung operasi melebihi enam bulan.

Bagaimanapun, laporan berkenaan menunjukkan perusahaan mikro masih berdepan cabaran aliran tunai yang memerlukan sokongan dan penyelesaian berterusan.

Dapatan itu diperoleh menerusi Indeks Sentimen PKS bagi separuh pertama 2026 yang diumumkan oleh SME Bank, anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB).

Tinjauan berkenaan dijalankan antara Januari hingga April 2026 membabitkan 1,803 perniagaan daripada 40 sektor ekonomi di seluruh negara.

Laporan itu turut menunjukkan perubahan keutamaan dalam kalangan PMKS apabila pendigitalan kini menjadi fokus utama, mengatasi pemasaran dan pengembangan fizikal perniagaan buat pertama kali.

Perubahan itu disokong maklum balas kajian yang mendapati 51 peratus responden memberi tumpuan lebih besar kepada pelaburan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

"Sebagai tulang belakang ekonomi negara, PMKS perlu terus memperkukuh daya tahan, produktiviti dan daya saing bagi menghadapi persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah," kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain.

Sementara itu, tinjauan berkenaan turut mendedahkan perbezaan sentimen antara perniagaan berorientasikan eksport dan pasaran domestik.

Sebanyak 55 peratus perniagaan berorientasikan eksport menjangkakan pertumbuhan jualan, berbanding hanya 38 peratus syarikat yang bergantung sepenuhnya kepada pasaran tempatan.

Dalam aspek pembiayaan pula, 51 peratus PMKS mengenal pasti modal kerja sebagai keperluan utama bagi memastikan kelangsungan operasi.

Bagi membantu sektor itu menghadapi cabaran semasa, hampir RM2 bilion disediakan menerusi SME Bank Relief Programme, selain kemudahan SME Stabilisation Relief Facility bernilai RM5 bilion yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia.

Ketua Pemantauan Makro dan Analitik Kumpulan BPMB, Mazlina Abdul Rahman, berkata perniagaan kini semakin aktif menyesuaikan strategi bagi menghadapi perubahan landskap ekonomi.

Beliau berkata, banyak syarikat mula meneroka peluang baharu untuk mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperluas pasaran ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Video Terkini

Berita Berkaitan