BH Online
Ringkasan Berita

Menuju ke arah rantaian bekalan lestari

Globalisasi telah mewujudkan rantaian bekalan saling terhubung yang berkait rapat, membawakan peluang pertumbuhan baharu dan pada masa yang sama mendedahkan syarikat-syarikat kepada risiko gangguan seperti kekurangan bekalan dan kenaikan kos akibat ketegangan global. Dengan kumpulan pelanggan yang lebih luas, timbul keperluan untuk memenuhi jangkaan yang terpelbagai.
Menuju ke arah rantaian bekalan lestari

Gambar hiasan.

Globalisasi telah mewujudkan rantaian bekalan saling terhubung yang berkait rapat, membawakan peluang pertumbuhan baharu dan pada masa yang sama mendedahkan syarikat-syarikat kepada risiko gangguan seperti kekurangan bekalan dan kenaikan kos akibat ketegangan global. Dengan kumpulan pelanggan yang lebih luas, timbul keperluan untuk memenuhi jangkaan yang terpelbagai.

Tinjau selidik Vodus 2024 mendapati bahawa lebih separuh daripada pengguna Malaysia mengutamakan Persijilan Halal Jakim dan kehadiran kakitangan Islam semasa membeli makanan, minuman, produk dandanan diri, penjagaan kulit dan kosmetik.

PKS Malaysia yang diusahakan di dalam negara dengan infrastruktur Islam yang kukuh, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan prinsip rantaian bekalan Islam yang mengukuhkan ketahanan terhadap gangguan dan membantu mereka merebut peluang bagi mencapai pertumbuhan lestari.

Prinsip Rantaian Bekalan Halal

Rantaian bekalan Halal merangkumi aktiviti daripada peringkat pemerolehan dan pemprosesan pengeluaran kepada peringkat pengedaran produk akhir kepada pelanggan, dengan tumpuan memastikan keutuhan persijilan Halal di setiap peringkat.

Syed Abdull Aziz Syed Kechik CEO of OCBC Al-Amin
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Bhd, Syed Abdull Aziz Syed Kechik.

1. Berpegang pada Prinsip Halalan Toyyiban

Prinsip Halalan Toyyiban, yang bermaksud halal lagi baik, menjadi kunci kepada usaha membina rantaian bekalan Halal yang kukuh.

Halal merujuk kepada apa yang dibenarkan, Toyyib menekankan bahawa produk juga seharusnya membawa manfaat dan kebaikan, termasuk mengutamakan kesihatan dan kebersihan dalam segala aspek. Secara tergabung, prinsip-prinsip ini menegakkan hukum Syariah untuk mengekalkan nilai-nilai Islam, sifat kemanusiaan, intelek, warisan dan kekayaan.

Untuk menjamin keutuhan persijilan Halal, syarikat-syarikat perniagaan mesti memastikan produk tidak terdedah secara langsung kepada unsur-unsur Haram atau bahan pencemar di mana-mana peringkat rantaian bekalan. Tindakan ini memerlukan SOP yang jelas, amalan kebersihan ketat dan audit berkala dalam proses pemerolehan, pemprosesan dan pengedaran. Menerusi segala usaha ini, PKS boleh menjamin pematuhan dan juga keyakinan pengguna.

2. Mengamalkan Keadilan dan Tanggungjawab Bersama

Rantaian bekalan Halal yang kukuh dibina berpandukan nilai-nilai Amanah dan `Adl (Keadilan).

Amanah bermaksud kepercayaan dan kebertanggungjawaban, mengingatkan syarikat-syarikat perniagaan untuk bertindak secara bertanggungjawab dan memenuhi komitmen yang dibuat manakala keadilan memastikan setiap transaksi dilaksanakan sewajarnya. Kedua-dua nilai ini menggalakkan perkongsian risiko, usaha sama, pembayaran tepat pada masanya dan rantaian bekalan tempatan lebih kukuh yang boleh menjadi penampan apabila menghadapi gangguan.

Menegakkan nilai-nilai ini juga memerlukan pelaburan dalam insan. Kakitangan dan rakan niaga seharusnya dididik tentang amalan rantaian bekalan Halal, daripada mengenal pasti bahan yang dianggap Haram kepada pengendalian barangan dan tindak balas kepada risiko pencemaran dengan tatacara yang jelas. Dengan menerapkan prinsip-prinsip ini, PKS mengukuhkan daya tahan dan tahap kepercayaan di seluruh rantaian bekalan.

3. Melindungi Keutuhan Logistik

Prinsip Sadd al-Dhara'i, atau menghalang sesuatu yang menuju Haram, memainkan peranan penting dalam logistik Halal. Prinsip ini memastikan aliran barangan antara semua pihak terus bebas daripada pencemaran silang dan mengekalkan keutuhan Halal sepanjang perjalanan.

Untuk mencapai matlamat ini, syarikat-syarikat perniagaan boleh melabur dalam automasi yang mengurangkan kesilapan manusia, menetapkan laluan pengangkutan yang terkhusus dan menguatkuasakan proses pembersihan yang rapi. Sebagai contoh, kenderaan yang sebelum ini membawa barangan Haram mesti dibersihkan dan melalui proses sanitasi (samak) secara menyeluruh sebelum digunakan sekali lagi.

Protokol pengasingan juga amat penting, daripada menggunakan peralatan dan bekas terkhusus kepada pembungkusan yang sesuai dan pelaksanaan langkah-langkah kawalan kualiti. Dengan mengamalkan Sadd al-Dhara'i dalam aspek logistik, PKS boleh melindungi produk dan membina keyakinan pengguna terhadap tahap kebolehpercayaan rantaian bekalan mereka.

4. Menjalankan Perniagaan Dengan Telus

Ketelusan menjadi nadi penggerak rantaian bekalan Halal. Setiap fasa perlu dicatatkan dengan teliti, daripada pemerolehan bahan mentah kepada pembuatan, simpanan dan pengangkutan.

Dengan melabur dalam teknologi seperti kod QR, RFID, rantaian bekalan dan sistem IoT, syarikat-syarikat perniagaan boleh mewujudkan proses penjejakan capaian terbuka yang menentusahkan kesahihan dakwaan Halal. Ini membantu mengurangkan keraguan pengguna dan mengukuhkan keyakinan mereka terhadap jenama.

Dalam pada itu, tahap ketelusan lebih tinggi membolehkan operasi mereka berjalan lebih lancar dan cekap. Dengan data yang lebih jelas, syarikat-syarikat perniagaan boleh mengurangkan panggilan balik produk, menyelesaikan masalah dengan pantas dan mengurangkan pembaziran kos, yang akhirnya mengukuhkan keyakinan pengguna dan juga keuntungan perniagaan, menjadikan prinsip-prinsip tersebut penting bagi PKS yang berusaha meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang.

Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini, PKS boleh membina rantaian bekalan yang mantap, beretika dan dipercayai. Sambil pasaran berkembang maju dan pilihan pengguna kian berubah, usaha mengukuhkan prinsip-prinsip ini akan membolehkan perniagaan bukan sahaja memenuhi keperluan masa depan, tetapi juga mempelopori pasaran.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Bhd.

Video Terkini

Berita Berkaitan