KUALA LUMPUR: Samsung memperkenalkan siri telefon pintar boleh lipat Galaxy Z generasi baharu yang menampilkan tiga model berbeza, iaitu Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 dan Galaxy Z Flip8, bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin pelbagai.
Pelancaran siri terbaharu itu bertujuan memperluaskan penggunaan peranti boleh lipat dengan menawarkan pilihan yang memfokuskan kepada produktiviti, pengalaman hiburan serta ekspresi diri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Presiden dan Ketua Bahagian Device eXperience (DX) Samsung Electronics, TM Roh, berkata kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan telefon pintar sebagai peranti paling peribadi yang mampu memahami serta menyesuaikan pengalaman mengikut keperluan setiap pengguna.
"Melalui siri Galaxy Z baharu ini, kami menetapkan standard baharu untuk telefon boleh lipat sekali gus membawa pengalaman mudah alih premium kepada lebih ramai pengguna," katanya.
Lebih ringan
Galaxy Z Fold8 tampil dengan reka bentuk lebih ringan pada berat hanya 201 gram, menjadikannya Galaxy Z Fold paling ringan pernah dihasilkan Samsung. Ia dipadankan dengan bateri 4,800mAh dan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 Mobile Platform for Galaxy.
Dari segi dimensi, ia berukuran tebal 4.9mm apabila lipatan dibuka dan 9.8mm dengan lipatan ditutup.
Telefon itu menawarkan paparan yang dioptimumkan untuk aktiviti seperti menonton video, membaca dan bermain permainan.
Untuk fotografi, ia dilengkapi kamera utama 50MP bersama kamera ultralebar 50MP manakala untuk selfie, model standard ini turut menggunakan dua kamera depan 10MP pada skrin dalam dan luar.
Model itu turut menggunakan teknologi Flex Titanium yang meningkatkan ketahanan paparan, selain mengurangkan kesan lipatan dan menjadikan mekanisme buka-tutup lebih lancar.
Skrin utamanya juga menawarkan tahap kecerahan sehingga 3,000 nits bagi memastikan paparan kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari.
Tahap kecerahan maksimum
Sementara itu, Galaxy Z Fold8 Ultra direka untuk pengguna yang memerlukan produktiviti maksimum dengan paparan utama bersaiz lapan inci, kamera utama 200 megapiksel (MP), bateri 5,000mAh serta pengecasan pantas 45W.
Walaupun saiznya tidak berubah, Samsung meningkatkan tahap kecerahan maksimum kepada 3,000 nits, kira-kira 15 peratus lebih cerah berbanding Galaxy Z Fold 7.

Paparan ini turut dipadankan dengan Vision Booster dan kemasan Anti-Reflective Display untuk memastikan kandungan kekal jelas walaupun digunakan di bawah cahaya matahari.
Galaxy Z Fold 8 Ultra dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy, dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM dan storan sehingga 1TB.
Menurut Samsung, ia mampu menawarkan sehingga 27 jam tontonan video.
Untuk perlindungan, skrin luar menggunakan Corning Gorilla Glass Ceramic 3, manakala bahagian belakang dilindungi oleh Corning Gorilla Glass Victus.
Reka bentuk paling nipis
Bagi pengguna yang mengutamakan gaya dan kemudahan penggunaan, Galaxy Z Flip8 hadir dengan reka bentuk paling nipis dan ringan dalam siri Flip. Ia dilengkapi paparan FlexWindow yang dipertingkatkan untuk memudahkan akses kepada aplikasi, maklumat serta ciri AI tanpa perlu membuka telefon.
Kesemua model baharu itu disokong Galaxy AI yang dioptimumkan mengikut faktor bentuk masing-masing, termasuk integrasi Gemini Intelligence bagi memudahkan pelbagai tugasan harian, selain mengekalkan aspek privasi dan kawalan pengguna.
Samsung turut memperkukuh ciri keselamatan menerusi Samsung Knox, Personal Data Engine (PDE) dan Knox Vault bagi melindungi data peribadi, selain memperkenalkan papan pemuka AI Assistant Activity yang membolehkan pengguna memantau aktiviti AI dengan lebih telus.
Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 dan Galaxy Z Flip8 kini dibuka untuk prapesanan di pasaran terpilih.
Samsung turut menawarkan percubaan percuma Google AI Pro selama enam bulan serta pelbagai ganjaran promosi sempena pelancaran siri baharu itu.
Pada masa sama, Samsung turut memperkenalkan jam tangan Galaxy Watch Ultra2 dan Galaxy Watch9. Kedua-dua jam tangan ini menampilkan paparan kaca kristal nilam.
Jam tangan Galaxy Watch Ultra2 didatangkan dengan pengecasan pantas frekuensi tinggi (pengecasan tanpa wayar berasaskan WPC) manakala Galaxy Watch9 pengecasan pantas (Pengecasan tanpa wayar berasaskan WPC).





















