BH Online
Ringkasan Berita

72 peratus pengguna bergantung kepada telefon pintar namun abai keselamatan siber

KUALA LUMPUR: Kajian terbaharu mendedahkan 72 peratus responden di Malaysia kini menganggap telefon pintar sebagai peranti utama untuk mengakses internet, mengatasi penggunaan komputer peribadi.
72 peratus pengguna bergantung kepada telefon pintar namun abai keselamatan siber

KUALA LUMPUR: Kajian terbaharu mendedahkan 72 peratus responden di Malaysia kini menganggap telefon pintar sebagai peranti utama untuk mengakses internet, mengatasi penggunaan komputer peribadi.

Bagaimanapun, pakar keselamatan siber memberi amaran bahawa tahap kesedaran pengguna terhadap perlindungan peranti masih ketinggalan walaupun jumlah data peribadi dan sensitif yang disimpan dalam telefon pintar semakin meningkat.

Telefon pintar kini menjadi rakan digital utama pengguna dengan menyimpan pelbagai maklumat penting dalam kehidupan seharian. Data visual seperti gambar dan video peribadi menduduki tempat tertinggi dalam senarai simpanan rakyat Malaysia iaitu sebanyak 66 peratus, diikuti maklumat kenalan sebanyak 61 peratus.

Sikap mengambil mudah terhadap keselamatan siber semakin membimbangkan apabila 39 peratus pengguna turut menyimpan maklumat kewangan dalam telefon pintar. Selain itu, 34 peratus menyimpan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, manakala 32 peratus merekodkan butiran kata laluan log masuk dalam peranti sama.

Pakar Keselamatan Siber Kaspersky, Anton Kivva, berkata telefon pintar masa kini bukan lagi sekadar alat komunikasi, sebaliknya berfungsi sebagai pembantu digital yang menyentuh hampir setiap aspek kehidupan pengguna.

"Akibatnya, persoalan utama bukan lagi 'apa yang kita simpan,' tetapi 'bagaimana kita melindunginya,' yang memerlukan keselamatan menjadi sama penting dengan data yang dibawanya," katanya.

Lebih membimbangkan, telefon pintar turut berpotensi menjadi laluan masuk kepada ancaman terhadap organisasi apabila 52 peratus rakyat Malaysia menggunakannya untuk menyimpan e-mel kerja.

Selain itu, sembilan peratus responden mengakui menyimpan dokumen sulit syarikat, manakala 22 peratus mempunyai akses kepada sistem kerja melalui telefon pintar mereka.

Perubahan corak penggunaan digital turut menunjukkan rakyat Malaysia semakin banyak menyimpan rekod aktiviti harian dalam peranti berkenaan, termasuk maklumat pembelian dalam talian yang direkodkan oleh 49 peratus pengguna.

Pada masa sama, 31 peratus pengguna menyimpan sejarah perbualan Kecerdasan Buatan (AI), sekali gus menunjukkan telefon pintar kini berfungsi sebagai repositori utama kehidupan digital seseorang.

Keperluan memperkukuh perlindungan siber semakin jelas apabila lebih 18.8 juta ancaman siber berasaskan web berjaya disekat di Malaysia pada 2025.

Jumlah itu bersamaan purata lebih 51,000 cubaan serangan berniat jahat yang disasarkan setiap hari terhadap pengguna di negara ini.

Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky, Adrian Hia, berkata hubungan manusia dengan telefon pintar sudah berubah secara ketara berbanding fungsinya sebagai alat komunikasi sebelum ini.

"Keselamatan siber mudah alih hari ini bukan lagi sekadar melindungi telefon; ia juga tentang melindungi kehidupan digital yang kita bawa dalam poket kita setiap hari," katanya.

Bagi mengurangkan risiko kehilangan atau kecurian data, pakar mengesyorkan pengguna memastikan maklumat penting tidak hanya disimpan dalam telefon pintar.

Pengguna disaran menyediakan sandaran data yang boleh dipercayai atau menggunakan penyegerakan awan sebagai langkah persediaan menghadapi kehilangan peranti, kerosakan perkakasan atau pemadaman data secara tidak sengaja.

Selain itu, pengguna perlu melindungi peranti dengan penyelesaian keselamatan siber menyeluruh seperti yang digunakan pada komputer peribadi.

Sistem perlindungan berkenaan disaran mempunyai keupayaan mengimbas aplikasi serta menggunakan ciri dipacu AI untuk mengesan dan menyekat pautan memancing data secara masa nyata.

Orang ramai juga digalakkan membuat persediaan menghadapi situasi kecemasan melalui penggunaan ciri terbina dalam seperti perkhidmatan lokasi bagi mencari telefon pintar yang hilang serta memadam data dari jauh.

Pengguna turut dinasihatkan menetapkan fungsi kunci automatik sebaik sahaja skrin terpadam bagi menghalang akses tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kivva berkata pengguna tidak seharusnya memandang ringan risiko terhadap maklumat berharga yang tersimpan dalam telefon pintar tanpa perlindungan keselamatan mencukupi.

"Tanya diri anda: Bila kali terakhir saya menyandarkan gambar atau nota saya? Apakah rancangan saya jika telefon saya hilang? Adakah saya mengesahkan pautan sebelum saya tekan klik?" soal beliau.

Video Terkini

Berita Berkaitan