KUALA LUMPUR: Huawei melancarkan siri telefon pintar premium terbaharunya, HUAWEI Pura 90s Series dengan harga bermula RM3,699 selepas rebat yang menawarkan peningkatan teknologi pengimejan mudah alih menerusi kamera berkuasa tinggi serta ciri kecerdasan buatan (AI) pada produk.
Pelancaran itu diadakan menerusi acara Pelancaran Global Produk Utama Huawei di Malaysia yang menyaksikan Huawei memperkenalkan dua model baharu iaitu HUAWEI Pura 90s Pro Max dan HUAWEI Pura 90s Pro, selain turut memperkenalkan peranti pintar HUAWEI FreeClip 2 S dan HUAWEI MatePad Air.
Menurut Huawei, inovasi terbaharu itu dibangunkan berasaskan komitmen syarikat untuk mentakrif semula pengalaman pengimejan mudah alih, bukan hanya bagi menghasilkan gambar lebih baik, tetapi membantu pengguna mengekalkan emosi dan cerita di sebalik setiap momen yang dirakam.
"Berteraskan tema 'Now Is Your Moment', siri berkenaan menggabungkan teknologi pengimejan terkini, reka bentuk premium serta pengalaman pintar bagi menyokong keperluan pengguna dalam kehidupan harian, pekerjaan dan penciptaan kandungan," katanya dalam majlis pelancaran global produk itu di sini, hari ini.
Bagi model utama, HUAWEI Pura 90s Pro Max mengetengahkan kamera telefoto Ultra Large Sensor 200 megapixel (MP) yang dilengkapi sensor RYYB bersaiz 1/1.28 inci, zum optikal 4x, penstabilan imej optikal (OIS) serta keupayaan rakaman video telefoto HEX 20x.
Ia turut dilengkapi kamera Ultra Lighting HDR bagi menghasilkan imej lebih jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan, termasuk ketika pengguna merakam acara seperti konsert atau aktiviti sukan.
Sementara itu, HUAWEI Pura 90s Pro menampilkan kamera telefoto makro Ultra Lighting dengan jarak fokus minimum lima sentimeter serta kamera utama Ultra Lighting bagi menghasilkan imej lebih terperinci, khususnya untuk fotografi jarak dekat.
Kedua-dua model turut dilengkapi pelbagai fungsi berasaskan AI seperti AI Composition, AI De-Glare, AI Move, AI Remove dan AI Best Expression yang membantu pengguna menghasilkan serta menyunting gambar dengan lebih mudah.
Selain itu, teknologi kamera True-to-Colour Generasi Kedua menawarkan warna lebih semula jadi dan tepat dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Dari segi prestasi, siri Pura 90s menyokong pengalaman sambungan lebih lancar merentasi pelbagai persekitaran rangkaian, selain menggunakan sistem operasi EMUI 16 berasaskan Android 16 yang menawarkan pengalaman digital lebih bersepadu.
Ia turut dilengkapi pembantu AI suara Celia AI Assistant serta akses kepada pelbagai aplikasi menerusi ekosistem HUAWEI AppGallery.
Dari aspek reka bentuk, HUAWEI Pura 90s Pro Max hadir dalam pilihan warna Orange Ocean, Blaze Purple, Blush Gold dan Graphite Black, dengan edisi Orange Ocean menampilkan bingkai pertengahan dwigradasi (Dual-Tone Gradient Mid-Frame) pertama dalam industri.
HUAWEI Pura 90s Pro pula ditawarkan dalam pilihan warna Guava Soda, Orange Soda, Mulberry Black dan Coconut White. Kedua-dua model dilengkapi bateri berkapasiti 6,000mAh, dengan Pura 90s Pro Max menyokong pengecasan pantas SuperCharge 100W manakala Pura 90s Pro menyokong SuperCharge 66W.
Huawei turut berkata, pelanggan yang membuat tempahan awal siri berkenaan akan menikmati hadiah percuma bernilai sehingga RM3,076 termasuk baucar terhad sehingga RM400, hadiah misteri bernilai RM999 serta pakej perkhidmatan premium bernilai RM1,677.
Pakej itu merangkumi perlindungan kerosakan tidak sengaja selama setahun, penggantian bateri percuma tanpa had selama setahun, waranti APAC & MEA selama setahun, perlindungan pelindung skrin serta khidmat VIP satu demi satu.
Selain siri telefon pintar baharu itu, Huawei turut memperkenalkan HUAWEI FreeClip 2 S pada harga RM899, fon telinga terbuka yang menampilkan reka bentuk Luminous Aesthetics dengan kemasan logam serta sistem Airy C-bridge untuk keselesaan penggunaan sepanjang hari.
Dalam pada itu, Huawei turut melancarkan HUAWEI MatePad Air, tablet nipis dengan profil 5.3 milimeter yang dilengkapi paparan Ultra-clear OLED PaperMatte Display serta ciri produktiviti berasaskan AI bagi membantu pengguna bekerja dan mencipta kandungan dengan lebih cekap.
























