BH Online
Ringkasan Berita

SSDU Innovations, EER Digital meterai kerjasama teroka projek rintis pusat data mampan di Selangor

KUALA LUMPUR: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan EER Digital Sdn Bhd memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi meneroka kebolehlaksanaan projek rintis pusat data kecerdasan buatan (AI) mampan di Selangor.
SSDU Innovations, EER Digital meterai kerjasama teroka projek rintis pusat data mampan di Selangor

Ketua Pegawai Eksekutif SSDU, Muhammad Gaddafi Musli (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif EER Digital Sdn Bhd, Mohammad Firdaus (tiga dari kanan) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi meneroka kebolehlaksanaan projek rintis pusat data kecerdasan buatan (AI) mampan di Selangor. - Foto NSTP/Raihana Mansor

KUALA LUMPUR: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan EER Digital Sdn Bhd memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi meneroka kebolehlaksanaan projek rintis pusat data kecerdasan buatan (AI) mampan di Selangor.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penilaian aspek teknikal, tadbir urus, kemampanan dan keberkesanan teknologi penyejukan rendaman (immersion cooling) bagi menyokong beban kerja AI berintensif GPU.

Ketua Pegawai Eksekutif SSDU, Gaddafi Musli, berkata kerjasama itu bukan membabitkan pembinaan pusat data baharu, sebaliknya usaha penerokaan bagi membantu kerajaan negeri membuat keputusan berasaskan data dan penilaian menyeluruh.

"Peranan SSDU adalah menyelaras, menilai dan menghimpunkan pemegang taruh yang tepat supaya Selangor dapat membuat keputusan terbaik dalam perancangan ke hadapan.

"Kerjasama ini adalah langkah pertama untuk mengkaji bagaimana infrastruktur AI berkeupayaan tinggi boleh dibangunkan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kemampanan, tadbir urus dan kepentingan awam sejak dari peringkat awal," katanya selepas Majlis Menandatangani MOC, di sini hari ini.

Melalui MOC itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan kumpulan kerja teknikal bagi merangka skop projek rintis, menjalankan penilaian teknikal, mengukur indikator kemampanan serta membangunkan rangka kerja tadbir urus sebelum sebarang keputusan pelaksanaan dibuat.

EER Digital adalah rakan kongsi tempatan eksklusif Quetta Flow bagi jualan dan pengedaran teknologi penyejukan rendaman GPU proprietari milik Lead Wealth International, anak syarikat kepada BYD Electronic.

Gaddafi berkata, projek rintis yang dicadangkan akan menilai keberkesanan teknologi penyejukan rendaman dari segi kecekapan tenaga, penggunaan air, keperluan ruang, keselamatan operasi dan siber serta kebolehskalaan bagi menyokong pembangunan pusat data AI pada masa depan.

Beliau menegaskan, MOC itu tidak membawa maksud pelaksanaan projek berskala penuh atau pemberian kontrak kepada mana-mana pihak.

Sebarang pelaksanaan pada masa hadapan, katanya, termasuk pemilihan lokasi, kos projek dan model operasi, hanya akan dipertimbangkan selepas melalui kajian kebolehlaksanaan, penilaian teknikal, kelulusan tadbir urus serta proses perolehan yang ditetapkan.

Katanya, jika projek rintis itu berjaya, ia berpotensi menyokong pembinaan keupayaan AI di Selangor, pembangunan bakat tempatan serta membuka peluang pelaburan dan infrastruktur digital yang lebih mampan untuk negeri berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan