BH Online
Ringkasan Berita

Liputan 4G, 5G di RTS Link perlu berada pada tahap terbaik menjelang operasi 2027

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta memastikan liputan rangkaian 4G dan 5G di stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berada pada tahap optimum sebelum perkhidmatan itu mula beroperasi pada 1 Januari 2027.
Liputan 4G, 5G di RTS Link perlu berada pada tahap terbaik menjelang operasi 2027

Fajmi bercakap pada sidang media selepas melawat Pusat Operasi Bernama sempena PRN Johor, di Johor Bahru hari ini - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta memastikan liputan rangkaian 4G dan 5G di stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berada pada tahap optimum sebelum perkhidmatan itu mula beroperasi pada 1 Januari 2027.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu antara keutamaan kementerian bagi memastikan pengguna RTS menikmati pengalaman digital yang lancar sebaik perkhidmatan rentas sempadan berkenaan memulakan operasi.

"Saya berhasrat membuat tinjauan bersama MCMC, tetapi kita ambil kesempatan itu dalam lawatan akan datang kerana saya telah meminta MCMC memastikan tahap kesediaan liputan 4G dan 5G di stesen RTS berada pada tahap terbaik sebelum ia mula beroperasi pada 1 Januari 2027, Insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini hari ini.

Mengulas isu liputan Internet yang masih lemah di beberapa kawasan luar bandar sehingga menyukarkan urusan pembayaran digital (kod QR), Fahmi berkata sebahagian besar masalah itu dijangka dapat ditangani menerusi pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara Fasa 2 (JENDELA Fasa 2).

Beliau berkata, pembinaan menara telekomunikasi baharu memerlukan tempoh 12 hingga 24 bulan kerana melibatkan proses pengambilan tanah serta kelulusan pihak berkuasa tempatan.

"Di sesetengah kawasan, kita memanfaatkan infrastruktur pasif seperti menara sedia ada, tetapi mungkin belum dilengkapi peralatan syarikat telekomunikasi," katanya.

Fahmi berkata, selain pembinaan menara baharu, kerajaan turut meneliti penggunaan teknologi lain termasuk perkhidmatan Internet satelit Starlink bagi menyediakan akses Internet lebih pantas kepada komuniti di kawasan sukar mendapat liputan.

Beliau berkata, cabaran liputan di Johor Utara dan Pantai Timur turut dipengaruhi faktor bentuk muka bumi, kawasan ladang kelapa sawit yang luas serta taburan penduduk, sekali gus memerlukan pendekatan penyelesaian berbeza.

"Kos pembinaan menara baharu mungkin tidak menarik dari sudut komersial, namun kini terdapat pelbagai pilihan teknologi lain. Saya serahkan kepada MCMC untuk meneliti perkara ini," katanya.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, RTS Link akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

-BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan