KUALA LUMPUR: Samsung Electronics mengumumkan pelancaran rasmi dua model terbaharu siri Galaxy A iaitu Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G yang akan mula ditawarkan kepada pengguna di Malaysia bermula esok.
Menurut Samsung, siri Galaxy A terbaharu itu menggabungkan ciri kecerdasan buatan (AI), keupayaan kamera dipertingkat serta prestasi harian yang lebih stabil, sekali gus memberikan nilai lebih kepada pengguna pada harga berpatutan.
Galaxy A57 5G tampil sebagai model paling nipis dalam siri Galaxy A setakat ini, selain menawarkan keupayaan Nightography yang dipertingkat.
Peranti itu dilengkapi pemproses isyarat imej (ISP) yang dinaik taraf bersama pemprosesan AI canggih bagi membolehkan pengguna merakam foto dan video lebih jelas serta terang dalam keadaan pencahayaan rendah.
Model itu turut hadir dengan kamera utama 50 megapiksel (MP) yang mampu menghasilkan imej tajam dan terperinci dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Ciri pengurangan hingar yang lebih baik serta sokongan video HDR memastikan warna dan kontras lebih seimbang, manakala kelajuan 'shutter' lebih pantas memudahkan pengguna merakam momen spontan dengan lebih jelas.
Sementara itu, Galaxy A37 5G direka untuk memenuhi keperluan harian dengan prestasi yang lancar bagi aktiviti seperti penstriman, melayari media sosial, multitugas serta permainan mudah alih.
Dengan kuasa pemprosesan yang dioptimumkan dan pengurusan prestasi cekap, pengguna boleh bertukar antara aplikasi dengan mudah serta menikmati pengalaman permainan tanpa gangguan.

Peranti itu turut dilengkapi bateri tahan lama dan paparan yang terang bagi memastikan pengalaman penggunaan yang konsisten, sama ada untuk menonton kandungan, melayari internet atau bermain permainan.
Kedua-dua model hadir dengan ciri 'Awesome Intelligence' menerusi One UI 8.5 yang direka untuk memudahkan tugasan harian pengguna. Antara fungsi yang ditawarkan termasuk Voice Transcription, AI Select serta alat suntingan foto seperti Object Eraser dan Best Face.
Selain itu, integrasi Circle to Search bersama Google, serta peningkatan keupayaan pembantu maya Bixby dan Gemini, membantu memperkemas interaksi merentas aplikasi dan tetapan. Samsung Wallet turut disertakan bagi membolehkan pengguna menyimpan kad, membuat pembayaran dan mengakses keperluan digital secara selamat.
Kedua-dua peranti juga dilengkapi sistem kamera tiga lensa 50MP yang menghasilkan imej jelas dengan pengoptimuman adegan berasaskan AI untuk potret lebih semula jadi. Ia turut dilengkapi bateri berkapasiti 5,000mAh serta paparan Super AMOLED bagi pengalaman visual yang lebih imersif.
Bagi aspek ketahanan, Galaxy A57 5G dan Galaxy A37 5G dilengkapi penarafan IP68 kalis air dan habuk, selain ciri keselamatan Samsung Knox Vault bagi melindungi data pengguna. Kedua-dua model juga disokong sehingga enam generasi naik taraf sistem operasi serta enam tahun kemas kini keselamatan.
Galaxy A57 5G ditawarkan dalam pilihan warna Awesome Navy, Awesome Gray dan Awesome Icyblue, manakala Galaxy A37 5G hadir dalam warna Awesome Lavender, Awesome Charcoal dan Awesome Graygreen.
Sempena pelancaran itu, Samsung turut menawarkan rebat pelancaran dengan Galaxy A57 5G varian 12GB RAM + 512GB storan berharga RM2,699 sebelum rebat RM300, menjadikannya RM2,399, selain rebat tambahan RM200 bagi pembayaran menggunakan kad Maybank, CIMB atau Shopee PayLater.
Bagi varian 12GB RAM + 256GB, harga ditetapkan RM2,399 dengan rebat RM150 menjadikan harga RM2,249.
Sementara itu, Galaxy A37 5G varian 12GB RAM + 256GB ditawarkan pada harga RM1,999 dengan rebat RM100 (RM1,899), manakala varian 8GB RAM + 256GB berharga RM1,899 dan RM1,799 selepas rebat.
























