KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka didagangkan secara berhati-hati minggu depan apabila pelabur terus memantau perkembangan di Asia Barat, pergerakan harga minyak mentah dan petunjuk daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) berhubung prospek kadar faedah.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata cadangan tarif buruh paksa baharu antara 10 peratus hingga 12.5 peratus oleh Presiden AS, Donald Trump, dijangka mempengaruhi sentimen pasaran apabila pelabur menilai kesannya terhadap perdagangan global, rantaian bekalan dan ekonomi yang bergantung kepada eksport.
"Kepimpinan sektor dijangka beralih daripada sektor pertumbuhan taktikal kepada bidang yang lebih defensif seperti penjagaan kesihatan, komoditi serta minyak dan gas, apabila pelabur mencari daya tahan pendapatan untuk menghadapi turun naik pasaran.
"Selagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal di atas paras 1,695 hingga 1,700 mata, kami percaya trend peningkatan secara keseluruhan masih kukuh, walaupun kenaikan jangka pendek dijangka kekal terkawal apabila pelabur menunggu kejelasan daripada perkembangan ekonomi utama dan situasi geopolitik," katanya kepada Bernama.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 30.43 mata kepada 1,701.02 daripada 1,731.45 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM 70 meningkat 115.91 mata kepada 17,890.83, manakala Indeks FBM ACE menokok 47.72 mata kepada 4,926.87.
Bagaimanapun, Indeks FBM Emas susut 129.55 mata kepada 12,589.54, Indeks FBMT 100 merosot 145.60 mata kepada 12,411.96 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 38.22 mata kepada 12,444.25.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 182.79 mata kepada 9,300.98, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 478.25 mata kepada 20,057.11, manakala Indeks Tenaga meningkat 7.55 mata kepada 773.83 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.13 mata kepada 187.86.
Dari segi aktiviti dagangan, jumlah dagangan berkurangan kepada 16.43 bilion unit bernilai RM12.09 bilion berbanding 17.82 bilion unit bernilai RM13.68 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turut susut kepada 9.01 bilion unit bernilai RM10.72 bilion daripada 9.22 bilion unit bernilai RM12.10 bilion.
Dagangan waran berkurangan kepada 4.94 bilion unit bernilai RM621.21 juta berbanding 5.73 bilion unit bernilai RM711.62 juta pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 2.44 bilion unit bernilai RM741.42 juta daripada 2.86 bilion unit bernilai RM862.68 juta pada minggu sebelumnya.
























