KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.08 hingga RM4.10 berbanding dolar AS minggu depan apabila pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati menjelang beberapa perkembangan penting di dalam dan luar negara, termasuk keputusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tumpuan pasaran selepas ini akan terarah kepada keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) dan PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos.
"Kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan kadar faedah AS dikekalkan pada paras 3.5 hingga 3.75 peratus. Penggiat pasaran akan memberi tumpuan kepada kenyataan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) terutama bagaimana ahli jawatankuasa menilai perkembangan inflasi pada masa depan berikutan harga minyak mentah semasa telah meningkat dengan ketara pada Julai.
"Oleh itu, pada minggu depan kami menjangkakan peniaga dan pelabur lebih berhati-hati," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, menjangkakan harga minyak mentah akan menjadi pemacu utama pergerakan ringgit minggu depan berikutan hala tuju komoditi itu yang masih tidak menentu.
Beliau berkata, konsensus pasaran berpandangan ketegangan geopolitik akhirnya akan reda dan dolar AS dijangka melemah, namun tempoh untuk keadaan itu berlaku masih sukar dijangka.
Menurutnya, kenaikan harga minyak yang berterusan boleh mempengaruhi keputusan dasar Fed sekiranya pegawai bank pusat AS itu bimbang inflasi tenaga akan menular ke sektor ekonomi lain.
"Bagaimanapun, Malaysia adalah pengeksport tenaga tidak seperti kebanyakan negara serantau lain. Ini bermakna ringgit masih boleh menyusut berbanding dolar AS dalam persekitaran harga minyak yang tinggi, tetapi pada masa sama mengatasi mata wang Asia lain," katanya.
Beliau menjangkakan dagangan yang turun naik dengan pasangan mata wang USD/Ringgit kekal dalam julat RM4.0800 hingga RM4.0950 minggu depan.
Kenanga Investment Bank Bhd pula menjangkakan USD/Ringgit diniagakan dalam julat 4.09 hingga 4.10 minggu depan dengan risiko kelemahan kecil kepada ringgit apabila tumpuan pasaran beralih kepada mesyuarat FOMC AS.
Bank pelaburan itu turut menjangkakan Fed mengekalkan kadar faedah pada paras 3.50 hingga 3.75 peratus.
"Pasaran juga akan memantau mesyuarat dasar Bank of England dan Bank of Japan selain data awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua AS serta inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) teras bagi mendapatkan petunjuk baharu mengenai hala tuju dasar AS.
"Selain itu, Malaysia yang kekal dikenakan tarif 10 peratus di bawah Seksyen 301 AS di samping pengecualian yang meluas bagi sektor eksport utama, dijangka membantu mengurangkan risiko terhadap perdagangan luar negara dalam tempoh sederhana," menurut nota penyelidikan itu.
Minggu ini turut menyaksikan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$100 setong berbanding AS$71.57 setong pada 1 Julai 2026.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, sebelum ini berkata setiap kenaikan harga minyak sebanyak AS$1 setong dianggarkan menambah kira-kira RM300 juta kepada hasil kerajaan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan akan terus mengadakan libat urus dengan AS berhubung tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas eksport Malaysia susulan isu berkaitan buruh paksa yang mula berkuat kuasa.
Menurut MITI, tarif baharu itu mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam waktu AS pada 24 Julai selepas tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Pada masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Jun 2026 apabila meningkat 44.7 peratus kepada RM340.9 bilion berbanding RM235.6 bilion pada bulan sama tahun lalu, disokong pertumbuhan eksport dan import yang berterusan.
Eksport meningkat 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion manakala import berkembang 43.9 peratus kepada RM163.0 bilion, sekali gus melonjakkan lebihan dagangan sebanyak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion.
Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih tinggi berikutan data ekonomi Malaysia yang kukuh.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.0885/4.0935 berbanding dolar AS daripada 4.0930/4.0990 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama sepanjang minggu berkenaan.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4976/2.5008 daripada 2.5208/2.5246, mengukuh berbanding euro kepada 4.6556/4.6613 daripada 4.6824/4.6893 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4442/5.4509 daripada 5.5018/5.5099.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit turut mencatat prestasi lebih kukuh.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1667/3.1708 daripada 3.1709/3.1758, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 227.6/227.9 daripada 228.4/228.8, naik berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.62 daripada 6.64/6.66 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1414/12.1606 daripada 12.1743/12.1965 pada Jumaat.
























