BH Online
Ringkasan Berita

Ringgit susut tipis susulan tarif AS, krisis Asia Barat

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan peningkatan ketidaktentuan terhadap harga minyak mentah susulan gangguan pergerakan kapal di Asia Barat serta langkah terbaharu AS mengenakan tarif terhadap 60 negara termasuk Malaysia.
Ringgit susut tipis susulan tarif AS, krisis Asia Barat

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan peningkatan ketidaktentuan terhadap harga minyak mentah susulan gangguan pergerakan kapal di Asia Barat serta langkah terbaharu AS mengenakan tarif terhadap 60 negara termasuk Malaysia.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0885/0935 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0910 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mata wang Asia diniagakan bercampur-campur berikutan ketidaktentuan berkaitan harga minyak mentah serta langkah tarif baharu AS.

Beliau berkata, pasangan dolar AS-ringgit bergerak dalam julat kecil antara RM4.0890 hingga RM4.0977 sepanjang dagangan hari ini.

"Pertumbuhan global boleh menjadi perlahan kerana tarif mampu mengganggu rantaian bekalan.

"Pada masa sama, sekatan berterusan di Selat Hormuz akan memberi tekanan peningkatan terhadap harga minyak mentah. Justeru, risiko luaran semakin meningkat yang boleh menyebabkan permintaan terhadap dolar AS bertambah," katanya kepada Bernama.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata pihaknya akan meneruskan libat urus dengan AS berhubung tarif 10 peratus berkaitan isu buruh paksa yang dikenakan terhadap eksport Malaysia berkuat kuasa hari ini.

MITI berkata, tarif baharu itu bermula pada 12.01 pagi waktu AS pada 24 Julai, sejurus selepas tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit ditutup dengan kecenderungan sedikit lemah susulan tindakan tarif terbaharu pentadbiran AS serta pelarasan semula jangkaan dasar Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih berhati-hati apabila harga minyak meningkat minggu ini.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak susulan peningkatan semula konflik AS-Iran menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi pergerakan mata wang.

"Harga minyak berkemungkinan kekal sebagai pemacu terbesar. Kenaikan berterusan harga minyak boleh mempengaruhi keputusan dasar Fed sekiranya pegawai bank pusat itu bimbang inflasi tenaga merebak kepada sektor ekonomi lain," katanya.

Bagaimanapun, Innes berkata Malaysia sebagai negara pengeksport tenaga berada dalam kedudukan lebih baik berbanding banyak negara serantau lain.

Menurutnya, ringgit masih berpotensi melemah berbanding dolar AS dalam persekitaran harga minyak lebih tinggi, namun berupaya mencatat prestasi lebih baik berbanding mata wang Asia lain.

Pada penutupan dagangan, ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4976/5008 daripada 2.5015/5041 pada Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 4.6556/6613 daripada 4.6641/6686, serta naik berbanding pound Britain kepada 5.4442/4509 daripada 5.4647/4701.

Berbanding mata wang serantau, ringgit menunjukkan prestasi bercampur-campur.

Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 227.6/227.9 daripada 227.8/228.1 ketika ditutup pada Khamis, selain mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.62 daripada 6.62/6.63.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.1414/1606 daripada 12.0860/1021, manakala tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.1667/1708 berbanding 3.1667/1701 sebelumnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan