KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah secara meluas pada Jumaat apabila pelabur menilai kesan pelaksanaan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap import daripada 60 negara.
Bagaimanapun, indeks penanda aras FBM KLCI mencatatkan prestasi lebih baik berbanding beberapa pasaran serantau, meskipun sentimen pelabur terus berhati-hati susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.57 mata atau 0.79 peratus kepada 1,701.02 mata berbanding 1,714.59 mata ketika ditutup pada Khamis.
Indeks utama itu dibuka 4.14 mata lebih rendah pada 1,710.45 mata dan bergerak antara 1,697.76 mata hingga 1,710.80 mata sepanjang sesi dagangan.
Bagi pasaran keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 723 berbanding 339, manakala 543 kaunter tidak berubah, 1,168 kaunter tidak didagangkan dan 30 kaunter digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.03 bilion unit bernilai RM2.30 bilion berbanding 3.19 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata langkah perdagangan baharu AS, peningkatan harga minyak mentah serta ketidaktentuan terhadap prestasi pendapatan syarikat teknologi AS akan datang menjejaskan sentimen pasaran.
Harga minyak mentah Brent yang sebelum ini melepasi paras AS$100 setong susut kepada AS$97.28 setong pada penutupan dagangan, selepas serangan ke atas kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah serta serangan terbaharu AS ke atas Iran meningkatkan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan tenaga Asia Barat.
Keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap tekanan inflasi dan prospek pertumbuhan ekonomi global.
Thong berkata, sentimen di Bursa Malaysia berubah kepada lebih berhati-hati berikutan peningkatan ketegangan geopolitik serta pelaksanaan tarif baharu AS.
"Bagaimanapun, kami percaya paras 1,700 sepatutnya memberikan sokongan psikologi dan teknikal yang kukuh, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah selepas penurunan baru-baru ini.
"Walaupun cabaran luaran dijangka terus menyebabkan ketidaktentuan, FBM KLCI telah susut ke paras melebihi sokongan 1,700, sekali gus membawa penilaian kepada tahap yang lebih menarik," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata pasaran tempatan menunjukkan daya tahan lebih baik berbanding ketika berlaku lonjakan harga minyak sebelum ini walaupun indeks utama mengalami penurunan.
Beliau berkata, FBM KLCI setakat ini berjaya bertahan di atas paras 1,700 mata, menunjukkan asas sokongan pasaran yang lebih kukuh disokong pemulihan domestik serta penyertaan berterusan pelabur institusi.
"Walaupun perkembangan geopolitik dan harga tenaga yang tinggi dijangka meneruskan ketidaktentuan dalam tempoh terdekat, keupayaan pasaran untuk kekal berada di atas sokongan psikologi utama menunjukkan pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati berbanding reaksi mengelak risiko secara menyeluruh," katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM10.78, Public Bank berkurangan enam sen kepada RM5.11, Tenaga Nasional turun 14 sen kepada RM14.36, CIMB susut lima sen kepada RM7.68 dan IHH Healthcare turun sembilan sen kepada RM8.30.
Bagi saham aktif, Aimax tidak berubah pada satu sen, manakala HHRG susut tiga sen kepada 15 sen. Zetrix AI dan Aimflex masing-masing turun satu sen kepada 70 sen dan 12.5 sen, sementara Trive Property meningkat setengah sen kepada dua sen.
Kaunter paling untung menyaksikan ESYS meningkat 44 sen kepada 55 sen, United Plantations naik 32 sen kepada RM33.42, Allianz Malaysia dan Chin Teck Plantations masing-masing melonjak 28 sen kepada RM21.24 dan RM11.34, manakala Ideal Capital meningkat 24 sen kepada RM3.99.
Sementara itu, Malaysian Pacific Industries merekodkan penurunan terbesar apabila susut RM1.10 kepada RM45.08, diikuti Nestle yang turun 58 sen kepada RM90.62, Hong Leong Bank berkurangan 38 sen kepada RM21.98, Fraser & Neave susut 34 sen kepada RM28.30 dan Press Metal Aluminium turun 19 sen kepada RM7.86.
Dalam perkembangan indeks lain, Indeks FBM Emas susut 68.19 mata kepada 12,589.54 mata, Indeks FBM Top 100 turun 69.90 mata kepada 12,441.96 mata, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 42.21 mata kepada 4,926.87 mata.
Indeks FBM Mid 70 pula meningkat 23.48 mata kepada 17,890.83 mata.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 60.71 mata kepada 9,300.98 mata, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 153.60 mata kepada 20,057.11 mata.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.90 mata kepada 187.86 mata, sementara Indeks Tenaga turun 0.31 mata kepada 773.83 mata.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan turun kepada 1.73 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 1.84 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Khamis.
Jumlah waran pula berkurangan kepada 745.36 juta unit bernilai RM92.85 juta berbanding 902.43 juta unit bernilai RM117.01 juta sebelumnya.
Sebaliknya, dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 556.89 juta unit bernilai RM149.98 juta daripada 449.60 juta unit bernilai RM132.47 juta.
























