BH Online
Ringkasan Berita

Sentimen berhati-hati tekan Bursa Malaysia awal dagangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat dengan sentimen berhati-hati dijangka berterusan selepas kenaikan pasaran serantau semalam menyebabkan pasaran Asia terdedah kepada penurunan semalaman di Wall Street.
Sentimen berhati-hati tekan Bursa Malaysia awal dagangan

Gambar fail. Bursa Malaysia. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat dengan sentimen berhati-hati dijangka berterusan selepas kenaikan pasaran serantau semalam menyebabkan pasaran Asia terdedah kepada penurunan semalaman di Wall Street.

Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.09 mata kepada 1,708.50 daripada 1,714.59 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka rendah 4.14 mata kepada 1,710.45.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 336 berbanding 151, manakala 280 kaunter tidak berubah, 2,773 kaunter tidak diniagakan dan 30 kaunter lain digantung.

Jumlah dagangan setakat itu berjumlah 432.49 juta saham bernilai RM134.15 juta.

Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan pada Jumaat, sentimen pasaran terjejas susulan kenaikan harga minyak mentah Brent yang melepasi paras AS$100 setong, selain reaksi negatif pasaran terhadap pelan perbelanjaan Alphabet dan Tesla yang menyebabkan Nasdaq susut 2.15 peratus.

Alphabet ialah syarikat konglomerat teknologi multinasional yang juga syarikat induk kepada Google.

"Kaunter berkaitan tenaga dan minyak dijangka menjadi tumpuan hari ini, disokong harga minyak mentah Brent yang kekal pada AS$101 setong, manakala saham teknologi dijangka mencatat prestasi lemah berikutan jualan dalam saham bermodal besar.

"Secara keseluruhan, aktiviti dagangan dijangka kekal berhati-hati dan selektif menjelang hujung minggu serta mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat minggu depan, berikutan hasil Perbendaharaan yang mencecah paras tertinggi tahun ini dan tuntutan pengangguran yang rendah meningkatkan risiko kepada keputusan yang cenderung mengekalkan kadar faedah tinggi," menurut Apex Securities.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent diniagakan pada AS$100.02 setong.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM10.84 dan RM7.71.

Public Bank dan IHH Healthcare pula masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM5.14 dan RM8.36, manakala Tenaga Nasional menyusut enam sen kepada RM14.40.

Bagi saham aktif, AIMAX tidak berubah pada satu sen, VS Industry merosot satu sen kepada 24 sen, manakala Bumi Armada dan GIIB masing-masing meningkat setengah sen kepada 37 sen dan 57 sen.

Zetrix AI pula turun satu sen kepada 70 sen.

Kaunter paling untung diterajui ESYS yang meningkat 39 sen kepada 50 sen, diikuti Kuala Lumpur Kepong yang naik 10 sen kepada RM20.76.

Gas Malaysia dan Petronas Gas masing-masing menambah enam sen kepada RM5.18 dan RM17.56, manakala Westports meningkat lima sen kepada RM6.74.

Sementara itu, kaunter paling rugi diterajui Nestle yang susut 36 sen kepada RM90.84, diikuti UMS Integration yang merosot 26 sen kepada RM7.79.

Malaysian Pacific berkurangan 24 sen kepada RM45.94, Hong Leong Bank menyusut 18 sen kepada RM22.18 dan Kelington menurun 11 sen kepada RM7.91.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 38.13 mata kepada 12,619.60, Indeks FBMT Top 100 susut 37.07 mata kepada 12,444.79 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 35.25 mata kepada 12,461.03.

Indeks FBM ACE menyusut 24.65 mata kepada 4,944.43, manakala Indeks FBM Mid 70 berkurangan 21.79 mata kepada 17,845.55.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 3.34 mata kepada 777.48.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 69.65 mata kepada 20,141.06, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.56 mata kepada 188.20, manakala Indeks Perladangan turun 14.52 mata kepada 9,225.75.

Video Terkini

Berita Berkaitan