KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama pada Jumaat, namun susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila pelabur beralih kepada sentimen mengelak risiko.
Pergerakan itu berlaku ketika harga minyak mentah terus meningkat selain pentadbiran Presiden AS, Donald Trump memperkukuh dasar perlindungan perdagangan menerusi pengenaan tarif baharu.
Pada 8.01 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.0925/0980 berbanding dolar AS, berbanding 4.0870/0910 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Trump mengumumkan tarif import tambahan antara 10 peratus hingga 12.5 peratus ke atas 60 negara, termasuk Malaysia, dengan alasan berkaitan amalan buruh paksa.
"Trump terus bertegas untuk menggunakan tarif sebagai langkah bagi memacu ekonominya selepas berdepan halangan pada Februari lalu apabila Mahkamah Agung AS membatalkan langkah tarifnya sebelum ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati pada Jumaat dalam julat RM4.08 hingga RM4.10 berbanding dolar AS.
Sementara itu, pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama lain.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4971/5006 daripada 2.5015/5041 ketika ditutup pada Khamis.
Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.6556/6619 daripada 4.6641/6686, selain mengukuh berbanding pound kepada 5.4483/4557 daripada 5.4647/4701.
Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.1651/1696 daripada 3.1667/1701 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.5 daripada 227.8/228.1 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.0937/1153 daripada 12.0860/1021.
Ringgit kekal mendatar berbanding peso Filipina pada 6.62/6.64 berbanding 6.62/6.63 sebelum ini.
























