BH Online
Ringkasan Berita

Ringgit susut sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, sekali gus mencetuskan jangkaan kemungkinan kenaikan kadar faedah AS yang menyokong pengukuhan mata wang negara itu.
Ringgit susut sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, sekali gus mencetuskan jangkaan kemungkinan kenaikan kadar faedah AS yang menyokong pengukuhan mata wang negara itu.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0870/0910 berbanding dolar AS daripada paras penutup semalam pada 4.0850/0890.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata harga minyak mentah terus meningkat, dengan minyak mentah penanda aras West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing naik 3.19 peratus kepada AS$89.60 setong dan 4.23 peratus kepada AS$98.05 setong.

"Serangan ketenteraan yang kembali memuncak di Asia Barat meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global, ketika rundingan damai antara AS dan Iran dilihat semakin rapuh," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata lonjakan harga minyak itu turut menimbulkan persoalan mengenai tindak balas bank-bank pusat global terhadap kejutan harga minyak, dengan sesetengah negara berkemungkinan mengambil langkah mengetatkan dasar monetari bagi membendung tekanan inflasi.

"Kebarangkalian kenaikan kadar faedah AS pada mesyuarat September juga meningkat. Semua perkembangan ini dilihat menyokong dolar AS, dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.04 peratus kepada 101.169 mata," katanya.

Sehubungan itu, ringgit bergerak dalam julat sempit hari ini, berlegar antara RM4.0833 hingga RM4.0908 berbanding dolar AS.

Mohd Afzanizam berkata Bank Pusat Eropah (ECB) dijangka mengumumkan keputusan kadar dasar monetarinya lewat hari ini, dengan konsensus pasaran menjangkakan kadar faedah penanda aras dikekalkan.

"Bagaimanapun, kenyataan yang mengiringi keputusan itu lebih penting kerana pasaran akan meneliti pendirian dasar ECB susulan perkembangan terkini di Asia Barat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada penutup dagangan hari ini.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5015/5041 daripada 2.5057/5081 ketika ditutup semalam, namun susut berbanding euro kepada 4.6641/6686 daripada 4.6585/6631 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4647/4701 daripada 5.4612/4666.

Mata wang tempatan itu turut diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 227.8/228.1 daripada 228.0/228.3 ketika ditutup semalam, namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1667/1701 daripada 3.1635/1668, lemah berbanding baht Thailand kepada 12.0860/1021 daripada 12.0787/0944 serta merosot berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.61/6.62. - BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan