BH Online
Ringkasan Berita

Lonjakan harga minyak dorong Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Selepas menyusut selama tiga hari berturut-turut, Bursa Malaysia kembali mencatat kenaikan apabila indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.18 peratus pada akhir dagangan hari ini, disokong lonjakan harga minyak global yang memberi manfaat kepada kaunter berkaitan tenaga.
Lonjakan harga minyak dorong Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Selepas menyusut selama tiga hari berturut-turut, Bursa Malaysia kembali mencatat kenaikan apabila indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.18 peratus pada akhir dagangan hari ini, disokong lonjakan harga minyak global yang memberi manfaat kepada kaunter berkaitan tenaga.

Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 3.22 mata atau 0.18 peratus kepada 1,714.59 berbanding 1,711.37 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.01 mata lebih tinggi kepada 1,714.38 dan bergerak dalam julat 1,709.05 hingga 1,716.43 sepanjang sesi dagangan.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan indeks dipacu minat belian terhadap saham berkaitan minyak dan gas serta utiliti, sekali gus mengimbangi kelemahan beberapa saham bermodal besar terpilih.

Beliau berkata keadaan itu mencerminkan pemulihan beransur-ansur dalam sentimen pasaran walaupun pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati susulan ketidaktentuan global.

"Walaupun pasaran serantau didorong peningkatan semula saham teknologi susulan minat dan keyakinan berkaitan kecerdasan buatan (AI), kenaikan Bursa Malaysia lebih menyederhana berikutan pendedahan indeks penanda aras yang lebih rendah terhadap sektor teknologi serta tumpuan ketara ke atas sektor perbankan dan sektor defensif," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong menjangkakan FBM KLCI memasuki fasa penyatuan selepas pemulihan baru-baru ini apabila pelabur menilai perkembangan luaran dan prospek ekonomi global.

Beliau berkata sentimen pasaran dalam tempoh terdekat akan banyak dipengaruhi perkembangan geopolitik di Asia Barat, terutama kesannya terhadap harga minyak mentah.

"Musim pelaporan pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) juga akan menjadi tumpuan bagi mendapatkan petunjuk mengenai kekuatan asas korporat serta prospek ekonomi secara lebih meluas.

"Risiko geopolitik yang kekal tinggi dan ketidaktentuan berkaitan pendapatan mungkin menyebabkan sentimen pasaran kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat," katanya.

Dari sudut teknikal, Kenneth berkata indeks utama membentuk corak "doji", menunjukkan keadaan pasaran yang masih tidak mempunyai hala tuju jelas apabila tekanan beli dan jual berada pada tahap hampir seimbang.

Beliau menjangkakan paras rintangan terdekat FBM KLCI berada pada 1,735 mata dan seterusnya 1,740 mata, manakala paras sokongan jangka pendek masing-masing pada 1,700 mata dan 1,680 mata.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional Bhd meningkat 22 sen kepada RM14.50, IHH Healthcare Bhd naik enam sen kepada RM8.39, CIMB Group Holdings Bhd menokok tujuh sen kepada RM7.73 dan Public Bank Bhd untung dua sen kepada RM5.17.

Sebaliknya, Malayan Banking Bhd susut lapan sen kepada RM10.86.

Bagi saham aktif, AIMAX dan Zetrix AI masing-masing turun setengah sen kepada satu sen dan 71 sen, manakala Tanco Holdings Bhd berkurangan 3.5 sen kepada 27 sen.

VS Industry Bhd susut satu sen kepada 25 sen, manakala Pegasus Heights Bhd tidak berubah pada setengah sen.

Di pasaran secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 599 berbanding 415, manakala 600 kaunter tidak berubah.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.19 bilion unit bernilai RM2.27 bilion berbanding 3.43 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada sesi sebelumnya.

Indeks FBM Emas meningkat 1.77 mata kepada 12,657.73, Indeks FBM Top 100 menokok 1.89 mata kepada 12,481.86 dan Indeks FBM ACE naik 8.06 mata kepada 4,969.08.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Syariah susut 1.41 mata kepada 12,496.28 dan Indeks FBM Mid 70 turun 89.46 mata kepada 17,867.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.60 mata kepada 20,210.71, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.40 mata kepada 188.76.

Sebaliknya, Indeks Perladangan susut 80.97 mata kepada 9,240.27 dan Indeks Tenaga turun 0.27 mata kepada 774.14.

Video Terkini

Berita Berkaitan