BH Online
Ringkasan Berita

Konflik AS-Iran tolak harga minyak hampiri paras AS$100 setong

SINGAPURA: Harga minyak dunia meningkat lebih 1.5 peratus pada Khamis, mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi siri serangan ke atas Iran, manakala kumpulan Houthi di Yaman menyasarkan kapal tangki minyak di Laut Merah.
Konflik AS-Iran tolak harga minyak hampiri paras AS$100 setong

Gambar fail. Pengguna kenderaan mengisi minyak petrol RON95 di stesen minyak sekitar Kuala Lumpur. NSTP/HAIDATUL ELYANI HERMAN

SINGAPURA: Harga minyak dunia meningkat lebih 1.5 peratus pada Khamis, mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi siri serangan ke atas Iran, manakala kumpulan Houthi di Yaman menyasarkan kapal tangki minyak di Laut Merah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat sebanyak AS$1.93 atau dua peratus kepada AS$96 setong pada jam 12.11 tengah malam GMT, paras tertinggi sejak 8 Jun.

Pada penutupan dagangan sebelumnya, Brent melonjak lebih AS$3 kepada AS$94.07 setong, hanya sedikit di bawah paras tertinggi enam minggu.

Sementara itu, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$1.44 atau 1.7 peratus kepada AS$88.27 setong selepas naik hampir tiga peratus pada Rabu.

Tentera AS memaklumkan pihaknya melancarkan serangan untuk malam ke-12 berturut-turut ke atas Iran, beberapa jam selepas Presiden AS Donald Trump berikrar akan memusnahkan jambatan atau loji jana kuasa Iran setiap kali negara itu menyerang kapal yang melalui Selat Hormuz.

Langkah itu dilihat meningkatkan lagi ketegangan dalam konflik yang sedang memuncak.

Pengawal Revolusi Iran pula memaklumkan sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas berlaku letupan ketika cuba melalui laluan yang didakwa dipasang periuk api di selatan Selat Hormuz, manakala dua lagi kapal tangki dilaporkan berpatah balik.

Menurut Pengawal Revolusi Iran, Selat Hormuz kini berada di bawah kawalan mereka dan "ditutup sepenuhnya" selagi tindakan ketenteraan AS di rantau itu berterusan.

Mereka turut memberi amaran bahawa tiada kapal tangki dibenarkan memasuki atau meninggalkan laluan berkenaan tanpa penyelarasan dengan Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Houthi yang disokong Iran membuka satu lagi medan tekanan dengan mengancam untuk menyasarkan kapal yang membawa minyak Arab Saudi di Selat Bab al-Mandab serta mengumumkan sekatan laut terhadap Arab Saudi.

Kumpulan itu mendakwa melancarkan operasi ketenteraan terhadap dua kapal tangki minyak Arab Saudi, manakala laporan keselamatan maritim menyatakan sebuah daripada kapal yang dinamakan, Encelia yang berdaftar di Arab Saudi, terkena serangan di Laut Merah.

Houthi turut mendakwa kira-kira 10 kapal berpatah balik selepas diberi amaran supaya tidak belayar ke pelabuhan Arab Saudi.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.

Sekatan laut yang diumumkan Houthi di Laut Merah dijangka mengancam bekalan tenaga global di luar rantau Teluk, manakala jurucakap Pengawal Revolusi Iran turut memberi amaran kepada syarikat perkapalan bahawa laluan selatan Selat Hormuz dipasang periuk api.

Sementara itu, di AS, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) melaporkan stok minyak mentah negara itu meningkat sebanyak dua juta tong minggu lalu susulan pengurangan operasi penapisan, penurunan eksport minyak mentah serta peningkatan import.

Penganalisis yang ditinjau Reuters sebelum ini menjangkakan stok minyak mentah akan berkurangan sebanyak 1.1 juta tong.

- Reuters

Video Terkini

Berita Berkaitan