KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent berpotensi melonjak melepasi AS$120 setong menjelang suku keempat tahun ini sekiranya gangguan terhadap aliran bekalan minyak melalui Selat Hormuz berlarutan susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, menurut Goldman Sachs.
Senario itu bagaimanapun bukan unjuran asasnya, bank pelaburan berkenaan masih menjangkakan harga purata Brent sekitar AS$80 setong pada suku keempat tahun ini dan AS$75 setong pada 2027, dengan andaian ketegangan di Asia Barat kembali reda.
Namun, Goldman Sachs berpandangan risiko kini lebih cenderung kepada kenaikan harga berikutan kemungkinan konflik ketenteraan terus meningkat berbanding tercapainya gencatan senjata atau penyelesaian diplomatik dalam tempoh terdekat.
Harga minyak sebelum ini menunjukkan aliran menurun selepas tempoh kestabilan susulan gencatan senjata. Namun, ketegangan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyebabkan sebahagian besar penurunan itu kembali dipadamkan.
Minyak mentah penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), kini didagangkan sekitar AS$84 setong selepas meningkat kira-kira 4.7 peratus dalam tempoh lima sesi dagangan lalu dan hampir 10 peratus sepanjang sebulan.
Sementara itu, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global didagangkan sekitar AS$91 setong selepas meningkat kira-kira 5.3 peratus dalam tempoh lima sesi dagangan dan sekitar 12 peratus sepanjang sebulan lalu.
Goldman Sachs berkata, prospek asas pasaran minyak kekal kukuh, disokong oleh kekangan bekalan yang berterusan serta paras inventori yang masih rendah.
Selain itu, gangguan terhadap laluan perkapalan utama akibat serangan balas antara AS dan Iran dijangka terus mengekalkan premium risiko geopolitik dalam pasaran tenaga.
Walaupun konflik mula reda, ancaman seperti periuk api laut dan risiko keselamatan lain boleh menyebabkan laluan perkapalan utama kekal tidak selamat untuk tempoh yang lebih panjang.
Keadaan itu dijangka meningkatkan kos penghantaran berikutan cabaran logistik serta premium insurans yang lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga minyak.
Selain Selat Hormuz, Laut Merah turut menjadi sumber risiko baharu kepada pasaran tenaga global.
Menurut Reuters, kumpulan Houthi yang disokong Iran memberi amaran mungkin menyasarkan Selat Bab el-Mandeb sekiranya AS meneruskan serangan terhadap infrastruktur Iran.
Selat Bab el-Mandeb ialah antara laluan perkapalan paling penting di dunia yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.
Gangguan berterusan di laluan itu dianggarkan boleh mengurangkan bekalan minyak global sehingga tujuh peratus, selain menambah kepada penyusutan kira-kira 10 peratus aliran minyak yang sudah terjejas akibat konflik di Teluk Parsi.
Sekiranya keadaan itu berlarutan, pasaran minyak global dijangka terus berdepan kekangan bekalan, sekali gus mengukuhkan jangkaan harga minyak akan kekal tinggi bagi tempoh lebih lama.
























