BH Online
Ringkasan Berita

Ringgit mata wang kedua terbaik Asia separuh pertama tahun ini - MARC

KUALA LUMPUR: Ringgit secara keseluruhannya kekal stabil pada separuh pertama 2026 dan muncul sebagai mata wang kedua berprestasi terbaik selepas yuan dalam kalangan mata wang utama Asia sepanjang tempoh itu, menurut MARC Ratings.
Ringgit mata wang kedua terbaik Asia separuh pertama tahun ini - MARC

Gambar fail. Ringgit Malaysia. - NSTP/FATHIL ASRI.

KUALA LUMPUR: Ringgit secara keseluruhannya kekal stabil pada separuh pertama 2026 dan muncul sebagai mata wang kedua berprestasi terbaik selepas yuan dalam kalangan mata wang utama Asia sepanjang tempoh itu, menurut MARC Ratings.

Ia berkata, prestasi eksport yang mencatatkan rekod tertinggi serta aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berterusan dijangka terus menyokong nilai ringgit.

Pihaknya menjangkakan ringgit akan didagangkan dalam julat RM4.00 hingga RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026.

"Sasaran itu disemak daripada unjuran terdahulu RM3.98 hingga RM4.07 berbanding dolar AS sebelum perubahan dalam jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, yang mencerminkan jurang hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Perbendaharaan AS (UST) yang lebih memihak kepada AS," katanya dalam satu kenyataan.

MARC Ratings menjangkakan Malaysia akan terus menarik aliran masuk pelaburan asing ke dalam pasaran bon pada separuh kedua 2026, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh serta pembaharuan institusi yang berterusan.

Bagaimanapun, katanya, pendirian Fed AS yang lebih cenderung kepada dasar monetari ketat atau 'hawkish' berkemungkinan memperlahankan kadar aliran masuk itu walaupun hasil MGS dijangka kekal stabil dalam julat 3.60 peratus hingga 3.70 peratus menjelang akhir 2026.

Dari sudut dasar monetari, jangkaan asas MARC Ratings ialah Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dikekalkan tanpa perubahan.

Namun, ia berpandangan risiko geopolitik yang berterusan boleh menyebabkan harga minyak kekal tinggi dan memberi tekanan kepada inflasi.

Selain itu, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, pihaknya tidak menolak kemungkinan OPR berpotensi kembali ke paras sebelum pengurangan kadar pada Julai 2025.

MARC Ratings juga menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi keseluruhan tahun 2026 kepada 5.1 peratus berbanding 4.4 peratus sebelum ini susulan jangkaan prestasi memberangsangkan KDNK pada separuh pertama 2026.

Ia turut mengekalkan kecenderungan untuk menyemak naik unjuran itu sekiranya momentum kukuh pertumbuhan KDNK pada suku ketiga 2026 berterusan.

Video Terkini

Berita Berkaitan