KUALA LUMPUR: Harga emas diunjur lebih rendah tahun ini dengan jangkaan bergerak dalam lingkungan RM450 hingga RM520 segram sebelum kembali meningkat tahun depan, menurut Go Capital Growth Sdn Bhd.
Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd, Hong Kok Wah, berkata pergerakan harga emas global dijangka dipengaruhi tekanan inflasi serta kemungkinan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan permintaan terhadap logam berharga itu.
"Harga emas global juga berada dalam julat unjuran sekitar AS$3,800 seauns atau RM498.59 segram hingga AS$4,200 seauns atau RM551.07 segram menjelang hujung tahun ini sebelum berpotensi mencatat pemulihan pada tahun berikutnya.
"Trend harga emas yang kami jangkakan ialah ia akan bergerak rendah terlebih dahulu sebelum meningkat semula tahun hadapan. Sekiranya inflasi terus memberi tekanan, pihak AS dijangka menaikkan kadar faedah dan apabila kadar faedah meningkat, harga emas cenderung kekal pada paras rendah untuk tempoh tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pos ArRahnu Gold-i di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hong Kok Wah berkata tindakan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) lazimnya mengambil masa sebelum kesannya mula dirasai dalam ekonomi.
"Sekiranya prestasi ekonomi global mula melemah akibat kesan kadar faedah yang tinggi, terdapat kemungkinan Fed akan mengubah dasar monetari dengan menurunkan kadar faedah, sekali gus memberi sokongan kepada peningkatan semula harga emas," katanya.
Beliau berkata, tekanan terhadap harga emas ketika ini turut dipengaruhi faktor pasaran termasuk pergerakan harga minyak dan keadaan ekonomi global.
Katanya, emas masih mempunyai daya tarikan sebagai aset perlindungan nilai ketika berlaku ketidaktentuan ekonomi, namun pergerakan harganya bergantung kepada pelbagai faktor makroekonomi.
Dalam perkembangan global, harga emas spot susut 1.4 peratus kepada sekitar AS$4,060 seauns awal pagi ini susulan kebimbangan terhadap tekanan inflasi yang kembali meningkat selepas ketegangan antara AS dan Iran mencetuskan kenaikan harga minyak.
Perkembangan itu turut meningkatkan jangkaan pasaran terhadap langkah Fed sama ada mengekalkan atau menaikkan kadar faedah bagi menangani risiko inflasi, sekali gus memberi tekanan kepada emas sebagai aset yang tidak menawarkan pulangan faedah.
Hong Kok Wah ditemui ketika majlis pelancaran Pos ArRahnu Gold-i oleh Pos Malaysia menerusi kerjasama dengan Go Capital Growth. Platform simpanan emas digital patuh Syariah itu membolehkan pelanggan membeli, menyimpan, menjual dan menukar emas berdasarkan harga pasaran semasa dengan permulaan serendah RM10.











_1783924479.jpg)












