KUALA LUMPUR: Bahagian eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang terjejas daripada tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa dijangka berkurangan kepada 31.9 peratus, berdasarkan tempoh 12 bulan terkini dari Julai 2025 hingga Jun 2026.
Menurut CIMB Treasury and Markets Research, hal ini bermakna eksport Malaysia bernilai kira-kira RM3.3 bilion tidak lagi tertakluk kepada tarif.
"Kadar tarif efektif yang lebih rendah itu mencerminkan hakikat bahawa hanya kira-kira satu pertiga daripada eksport Malaysia ke AS dikenakan tarif di bawah Seksyen 301, manakala selebihnya sama ada dikecualikan atau telahpun tertakluk kepada langkah tarif AS yang lain," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan pasaran itu berkata, antara eksport Malaysia yang kini dikecualikan daripada tarif ialah minyak sawit, minyak isirung sawit, oleokimia dan papan lapis, dengan nilai keseluruhan sekitar RM2.1 bilion.
Ia berkata, beberapa peralatan pengukuran dan ujian semikonduktor turut diberikan pengecualian.
Katanya, instrumen optik dan perubatan secara keseluruhannya tidak banyak berubah, dengan RM16.2 bilion daripada keseluruhan eksport kategori itu yang bernilai RM17.9 bilion masih tertakluk kepada tarif.
"Sarung tangan getah kekal sebagai kumpulan produk eksport Malaysia yang paling besar dikenakan tarif, membabitkan nilai RM6.5 bilion, diikuti alat ganti mesin percetakan dan instrumen perubatan, masing-masing bernilai kira-kira RM4.5 bilion," katanya.
CIMB Treasury and Markets Research berkata, beban tarif efektif AS ke atas Malaysia berkurangan sedikit selepas tarif baharu Seksyen 301 berkaitan buruh paksa berkuat kuasa.
"Tarif baharu AS sebanyak 10 peratus ke atas eksport Malaysia yang berkuat kuasa mulai 24 Julai telah mengurangkan sedikit kadar tarif efektif Malaysia kepada 5.1 peratus daripada 5.2 peratus, susulan lebih banyak pengecualian produk berbanding tarif Seksyen 122 sebelum ini yang tamat pada hari yang sama," katanya.
Tarif Seksyen 122 sebanyak 10 peratus diperkenalkan pada 24 Februari untuk tempoh maksimum 150 hari selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
CIMB Treasury and Markets Research berkata, tarif baharu Seksyen 301 menggantikan tarif 10 peratus di bawah Seksyen 122 yang tamat pada 24 Julai.
Menurutnya, Malaysia menerima kadar tarif Seksyen 301 paling rendah iaitu 10 peratus, bersama Indonesia, berikutan komitmen kedua-dua negara di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengingatkan bahawa penambahbaikan berkenaan mungkin hanya bersifat sementara memandangkan Wakil Perdagangan AS (USTR) masih menjalankan siasatan berasingan berhubung lebihan kapasiti struktur yang membabitkan Malaysia dan 15 ekonomi lain.
"Sekiranya tarif tambahan dikenakan selepas siasatan itu selesai, kadar tarif keseluruhan Malaysia berpotensi meningkat kepada sekitar 15 hingga 19 peratus, menghampiri paras yang digariskan di bawah ART," katanya.
Walaupun terdapat risiko berkenaan, CIMB Treasury and Markets Research berkata tarif Seksyen 301 berkaitan buruh paksa itu pada masa ini tidak banyak mengubah pendedahan perdagangan Malaysia dengan AS, dengan kesan segera terhadap eksport negara kekal terhad.
Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh AS di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, pada 24 Julai lalu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.
Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.
"Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS," katanya.
























