WASHINGTON: Tempoh 18 bulan pertama penggal kedua Presiden Donald Trump di Rumah Putih menyaksikan beberapa kejutan ekonomi yang didorong oleh dasar pentadbirannya.
Ini termasuk tindakan tegas terhadap pendatang tanpa izin dan pelaksanaan tarif import lebih tinggi seperti yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya 2024, selain perang yang tidak dijangka dengan Iran melonjakkan harga minyak serta mengancam rantaian bekalan global.
Walaupun ekonomi Amerika Syarikat (AS) secara keseluruhannya mampu bertahan lebih baik daripada jangkaan ramai ahli ekonomi susulan perubahan dasar dan perang di Asia Barat, janji Trump untuk menurunkan harga barangan, meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan serta memperbaiki taraf hidup golongan pertengahan masih belum menjadi kenyataan, ketika pilihan raya pertengahan penggal bakal berlangsung dalam tempoh lebih tiga bulan lagi.
Ekonomi AS sememangnya kekal berdaya tahan, namun turut menunjukkan tanda-tanda kelembapan dalam beberapa bidang yang menurut Trump akan berkembang pesat hasil pengusiran besar-besaran pendatang tanpa izin dan kenaikan tarif import.
Konflik AS-Israel dengan Iran pula menambah risiko terhadap prospek ekonomi.
Ukuran paling menyeluruh bagi guna tenaga di AS diperoleh menerusi tinjauan isi rumah oleh Biro Statistik Buruh (BLS).
Perubahan statistik penduduk pada awal 2026 menyebabkan data rasmi BLS tidak lagi boleh dibandingkan secara langsung dengan tahun sebelumnya kerana menunjukkan penurunan ketara dalam jumlah pekerja dan pencari kerja pada Januari, sebahagian besarnya akibat kaedah kawalan baharu.
Bagaimanapun, BLS menggunakan anggaran penduduk baharu bagi siri percubaan yang menjejak data sejak lima tahun lalu bagi menghasilkan set data yang konsisten bermula April 2020.
Data itu turut menunjukkan penurunan dalam tenaga buruh dan jumlah individu yang bekerja sejak Trump kembali memegang jawatan, selaras dengan usaha mengehadkan imigresen dan meningkatkan pengusiran pendatang.
Digabungkan dengan populasi penduduk tempatan yang semakin menua, jumlah tenaga kerja yang tersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan turut berkurangan.
Trump sebelum ini berkata, dasar beliau akan menghidupkan semula sektor pembuatan AS dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.
Memang terdapat lonjakan pelaburan, khususnya dalam pembinaan pusat data kecerdasan buatan (AI), namun kesannya terhadap pengeluaran dan peluang pekerjaan masih belum dapat dipastikan.
Pelaburan AI membantu meningkatkan pekerjaan dalam sektor pembinaan, tetapi laporan penggajian menunjukkan jumlah pekerjaan dalam sektor pembuatan kini lebih rendah berbanding ketika bekas Presiden Joe Biden menamatkan pentadbirannya pada Januari 2025.
Sebahagian keutamaan Trump dapat dilihat dalam data pekerjaan, termasuk pengurangan bilangan kakitangan kerajaan.
Namun, sukar untuk mengubah corak permintaan ekonomi yang melibatkan 342 juta penduduk.
AS kekal sebagai masyarakat yang banyak berbelanja di restoran dan bar, selain mempunyai populasi yang semakin berusia serta memerlukan lebih banyak perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Perubahan dalam corak pengambilan pekerja mencerminkan realiti itu. Inflasi menjadi antara isu utama dalam kempen pilihan raya 2024, ketika kemarahan rakyat terhadap lonjakan harga selepas pandemik COVID-19 masih belum reda walaupun tekanan inflasi mula berkurangan susulan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).
Namun, janji Trump untuk menurunkan harga barangan secara keseluruhan sememangnya sukar dicapai.
Dari sudut sejarah, harga di AS hanya menurun secara meluas ketika ekonomi mengalami kemelesetan yang serius.
Walaupun inflasi berjaya dikurangkan sedikit, pencapaian pentadbiran Trump setakat ini adalah sederhana.
Indeks harga utama menunjukkan kemajuan dalam mengawal inflasi mula terbantut, dengan kadar inflasi masih melebihi sasaran Fed sebanyak dua peratus.
Penggubal dasar juga bimbang tekanan harga boleh meningkat semula.
Tarif import menyumbang kepada kenaikan harga, manakala lonjakan harga minyak kepada sekitar AS$100 setong, kira-kira 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum perang di Asia Barat bermula pada akhir Februari, turut meningkatkan tekanan inflasi.
Pada masa sama, permintaan tinggi yang didorong oleh pembangunan AI turut memberi kesan.
Ahli ekonomi menjangkakan perubahan harga relatif antara pelbagai jenis barangan adalah perkara biasa. Namun apabila kenaikan harga berlaku secara meluas dan berterusan merentasi pelbagai kategori, ia akan menghasilkan inflasi yang lebih menyeluruh.
-Reuters
























