PETALING JAYA: Malaysia perlu membangunkan tenaga kerja yang bukan sahaja mampu menyokong industri sedia ada, tetapi berupaya mencipta industri baharu pada masa hadapan.
Pengasas Bersama Strategic Intelligence, Profesor Henrik Von Scheel, berkata persaingan Malaysia dengan ekonomi besar seperti China dan India memerlukan negara membangunkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran, bukan sekadar pekerja yang mengisi pekerjaan.
"Kemahiran asas, disiplin dan penghargaan terhadap kerja adalah asas kepada produktiviti tenaga kerja. Kita perlu memastikan generasi akan datang mempunyai keupayaan untuk mencipta nilai dan bukan hanya menjadi pengguna teknologi," katanya di sini, hari ini.
Beliau yang juga penyelaras Industri 4.0 berkata demkian pada kerjasama strategik antara Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dengan Strategic Intelligence dan Asia Centre for Leadership and Civilisation bagi memperkukuh pembangunan pemimpin serta organisasi menghadapi era industri baharu.
Kerjasama strategik yang disempurnakan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu bertujuan membawa kepakaran antarabangsa ke Malaysia, selain memperluaskan pembangunan kepimpinan, latihan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan kemahiran dalam kalangan syarikat anggota MEF.
MoU itu dimeterai sempena program MEF Leadership Circle Breakfast yang menghimpunkan pengerusi, ketua pegawai eksekutif serta pemimpin kanan korporat bagi membincangkan cabaran kepimpinan, transformasi tenaga kerja dan hala tuju perniagaan masa depan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MEF, Datuk Seri Rosman Mohamed, berkata kerjasama itu akan memperkukuh peranan MEF sebagai rakan strategik pembangunan negara dengan menghubungkan pemain industri, kerajaan dan sektor kewangan dalam merangka pendekatan menghadapi perubahan global.
Beliau berkata, pendedahan terhadap perkembangan antarabangsa penting bagi membantu majikan mengenal pasti kemahiran baharu yang diperlukan organisasi susulan perubahan pesat teknologi AI, automasi dan transformasi kawal selia.
"MEF akan memanfaatkan kerjasama ini untuk memperluaskan program pembangunan kepimpinan, latihan berkaitan AI serta inisiatif peningkatan kemahiran kepada syarikat anggota.
"Pemimpin perlu memahami perubahan global, selain memiliki keupayaan menyesuaikan organisasi dengan cabaran dan peluang baharu," katanya.
Rosman berkata, pelaburan berterusan dalam latihan dan pembangunan pekerja adalah penting bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan, serta mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing syarikat.
























