BH Online
Ringkasan Berita

Ladang sawit empat negeri dijangka terkesan El Niño lebih kuat

KUALA LUMPUR: Kawasan-kawasan perladangan sawit yang dijangka terkesan dengan fenomena El Niño lebih kuat tahun ini ialah Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.
Ladang sawit empat negeri dijangka terkesan El Niño lebih kuat

Hasil purata buah tandan segar (BTS) biasanya jatuh 10 hingga 14 peratus pada tahun pertama fenomena El Niño melanda - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kawasan-kawasan perladangan sawit yang dijangka terkesan dengan fenomena El Niño lebih kuat tahun ini ialah Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.

Penganalisis RHB Research, Hoe Lee Leng, berkata mengikut rekod sejarah, Johor dan Pahang sering mengalami kekurangan hujan serentak, manakala kawasan Pesisir Timur Sabah mungkin mengalami musim kemarau yang lebih kuat berbanding kawasan-kawasan lain di negeri itu.

Beliau berkata, pakar-pakar pertanian daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyatakan bahawa semasa fenomena El Niño berlaku, hasil purata buah tandan segar (BTS) biasanya jatuh 10 hingga 14 peratus pada tahun pertama, dengan penurunan tambahan tiga hingga empat peratus pada tahun-tahun seterusnya jika keadaan kemarau berlarutan.

"Walaupun paras hujan sekarang masih dalam pemerhatian, keadaan kemarau akibat El Niño di Malaysia dijangka memuncak antara Oktober 2026 hingga Januari 2027, dan MPOB menjangka fenomena yang kuat akan berlaku kali ini, sekali gus menyerupai fenomena 'amat kuat' semasa tahun 1997/1998, yang berlaku selama lebih kurang setahun.

"Apabila pola hujan yang stabil kembali, hasil BTS lazimnya memakan masa dua tahun untuk pulih ke paras normal," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Buat masa ini, Pentadbiran Atmosfera Lautan Negara AS (NOAA) dan Biro Meteorologi Australia (ABM) bersetuju bahawa ramalan menunjukkan fenomena El Niño yang kuat sehingga amat kuat.

Sebahagian besar model menyatakan fenomena ini mungkin akan mencecah antara paras tertinggi pernah direkodkan sejak 1950, dengan kebarangkalian 97 peratus untuk fenomena El Niño yang kuat atau amat kuat pada Oktober hingga Disember.

Lee Leng berkata, dwikutub Lautan Hindi sekarang berada dalam julat positif (0.25°C).

Walaupun begitu, katanya untuk El Niño dianggap sebagai amat kuat, ia perlu mencapai purata tiga bulan sebanyak lebih 1.5°C selama dua kali berturut-turut.

"Kami terus menantikan pengesahan tentang kekuatan fenomena El Niño sebelum membuat sebarang pindaan ketara terhadap andaian harga minyak sawit mentah," katanya.

Beliau menambah, harga MSM kini beralih daripada bergantung semata-mata pada bekalan-permintaan menjadi lebih dipengaruhi oleh dasar, khususnya mandat tenaga.

Menurutnya, mandat B50 Indonesia yang berkuat kuasa mulai Julai 2026, memerlukan 18 juta tan MSM setiap tahun, yang merangkumi lebih 35 peratus daripada jumlah pengeluaran Indonesia.

"Hal ini sekali gus mengehadkan bekalan dunia," katanya.

Lee Leng berkata, MPOB menjangka harga purata MSM bagi tahun ini akan mencecah RM4,300 hingga 4,500 satu tan, dan harga tidak akan jatuh ke paras di bawah RM4,000 dalam jangka dekat.

Katanya, ia juga meramalkan kesan El Niño akan dirasai pada suku keempat 2026, dengan jangkaan Malaysia akan merekodkan penurunan keluaran antara dua hingga empat peratus tahun ke tahun pada 2026.

"Meskipun bekalan terhad, MPOB percaya bahawa faktor-faktor pemangkin semasa iaitu El Niño dan B50 sudahpun diambil kira untuk tahun ini, walaupun apabila kesan daripada tahap pengeluaran yang rendah mula dirasai pada akhir tahun, harga mungkin akan meningkat lagi pada 2027," katanya.

Beliau berkata, RHB Research mengekalkan saranan 'wajaran tinggi' terhadap sektor perladangan dengan saham pilihan utama terdiri daripada Johor Plantations, Sarawak Oil Palms, IOI Corp, Hap Seng Plantations, SD Guthrie, Triputra Agro Persada dan First Resources.

"Kami kekalkan harga MSM pada RM4,400 satu tan untuk 2026 dan RM4,300 satu tan untuk 2027. Walaupun begitu, kami tekankan bahawa risiko positif dilihat pada andaian harga 2027, kerana kesan El Niño lazimnya hanya terserlah selepas tempoh kelewatan 12 bulan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan