BH Online
Ringkasan Berita

Krisis Asia Barat beri tekanan baharu kepada harga gas

KUALA LUMPUR: Lonjakan harga minyak mentah susulan konflik Asia Barat dijangka akan mempengaruhi pasaran gas negara apabila Harga Rujukan Malaysia (MRP) diunjurkan meningkat 26 peratus pada suku keempat tahun ini.
Krisis Asia Barat beri tekanan baharu kepada harga gas

Gambar fail: Kemudahan pengeluaran gas asli cecair (LNG) QatarEnergy di Bandar Perindustrian Ras Laffan, Qatar. - REUTERS.

KUALA LUMPUR: Lonjakan harga minyak mentah susulan konflik Asia Barat dijangka akan mempengaruhi pasaran gas negara apabila Harga Rujukan Malaysia (MRP) diunjurkan meningkat 26 peratus pada suku keempat tahun ini.

Menurut RHB Investment Bank, kenaikan itu berpunca daripada mekanisme MRP yang menjejaki pergerakan harga minyak mentah Brent dengan sela masa kira-kira sembilan bulan.

Penganalisisnya, Max Koh, berkata lonjakan harga minyak mentah susulan gangguan bekalan di Selat Hormuz dijangka meningkatkan MRP kepada sekitar RM46 bagi setiap juta unit terma British (mmbtu) pada suku keempat tahun ini, naik 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, kesan lebih ketara dijangka dirasai pada 2027 apabila MRP diunjurkan meningkat 28 peratus tahun ke tahun, sejajar unjuran kenaikan purata 21 peratus harga minyak Brent sepanjang 2026.

"Gas Malaysia Bhd antara syarikat yang dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan MRP kerana anak syarikat perkapalannya memperoleh margin tetap berdasarkan harga gas yang dirujuk kepada MRP," katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu bagaimanapun mengekalkan andaian asas bahawa gencatan senjata membabitkan Amerika Syarikat (AS), Iran dan Israel berterusan sehingga separuh kedua 2026, dengan harga minyak Brent diunjur purata AS$77 setong sebelum susut kepada AS$72 setong pada 2027.

Namun, menurutnya, sebarang peningkatan semula ketegangan di Asia Barat kekal sebagai risiko kenaikan kepada harga minyak, sekali gus berpotensi mengekalkan MRP pada paras lebih tinggi daripada jangkaan.

Dalam laporan sama, RHB Investment memulakan liputan terhadap Gas Malaysia dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM6.50 sesaham, disokong prospek peningkatan harga gas, asas pendapatan yang stabil menerusi tarif terkawal serta pembangunan projek Terminal Pengegasan Semula 4 (RGT4) di Yan, Kedah.

Video Terkini

Berita Berkaitan