BH Online
Ringkasan Berita

Krisis Selat Hormuz: Kuwait, Qatar, Bahrain paling terdedah

KUALA LUMPUR: Gangguan teruk terhadap pergerakan kapal melalui Selat Hormuz menyebabkan eksport Kuwait, Qatar dan Bahrain lebih terdedah berikutan ketiadaan laluan alternatif yang berdaya maju.
Krisis Selat Hormuz: Kuwait, Qatar, Bahrain paling terdedah

Gambar hiasan. Kapal tangki Ocean Thunder. - foto PETRONAS.

KUALA LUMPUR: Gangguan teruk terhadap pergerakan kapal melalui Selat Hormuz menyebabkan eksport Kuwait, Qatar dan Bahrain lebih terdedah berikutan ketiadaan laluan alternatif yang berdaya maju.

Berbeza dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), ketiga-tiga negara Teluk itu tidak mempunyai infrastruktur pintasan bagi mengalihkan eksport apabila laluan strategik berkenaan terganggu.

Pakar Strategi Komoditi OCBC, Sim Moh Siong, berkata trafik kapal masuk dan keluar melalui Selat Hormuz merosot mendadak apabila risiko keselamatan meningkat susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.

Katanya, sekiranya Selat Hormuz terhenti sepenuhnya, laluan pintasan sedia ada membolehkan Arab Saudi dan UAE mengalihkan sebahagian daripada eksport mereka.

"Bagaimanapun, Kuwait, Qatar dan Bahrain tidak mempunyai pilihan alternatif yang berdaya maju, menyebabkan eksport mereka secara berkesan terhenti sepanjang tempoh penutupan berkenaan.

"Perkembangan ini dijangka mendorong negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengutamakan pembangunan infrastruktur tenaga tambahan yang tidak melalui Selat Hormuz," katanya dalam nota penyelidikan.

Menurutnya, kemudahan pengangkutan minyak di rantau itu kini berkembang daripada sekadar infrastruktur logistik kepada komponen penting dalam strategi keselamatan tenaga.

OCBC menjangkakan pengeluar GCC akan membangunkan kemudahan tambahan selain Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi dan Saluran Paip Minyak Mentah Abu Dhabi (ADCOP) milik UAE.

Laporan terkini menunjukkan talian kedua ADCOP UAE berpotensi mula beroperasi menjelang pertengahan 2027.

Arab Saudi pula dilaporkan telah memulakan perbincangan awal bagi meningkatkan kapasiti Saluran Paip Timur-Barat untuk menyediakan lebih banyak ruang eksport alternatif.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perdagangan tenaga terpenting dunia yang menghubungkan pengeluar minyak Teluk dengan pasaran antarabangsa.

OCBC berkata, pertikaian utama masih belum diselesaikan apabila Iran mendakwa memorandum persefahaman dengan Amerika Syarikat pada 17 Jun memberikan kuasa kepadanya terhadap kapal yang melalui selat berkenaan.

Menurut laporan itu, Iran menyerang kapal yang melalui laluan terbabit tanpa kelulusannya, manakala Amerika Syarikat menolak tafsiran berkenaan dan bertindak balas menerusi serangan ketenteraan.

Ketidaktentuan itu meningkatkan premium risiko geopolitik, menyebabkan harga minyak mentah Brent kembali menghampiri paras AS$100 setong.

OCBC berkata, serangan selanjutnya terhadap kapal tangki atau infrastruktur tenaga di Asia Barat boleh menyebabkan harga Brent kekal melebihi AS$100 setong.

Bagaimanapun, kejayaan rundingan diplomatik bagi memulihkan laluan selamat melalui Selat Hormuz berpotensi menyebabkan harga minyak mengalami pembetulan mendadak.

Video Terkini

Berita Berkaitan