KUALA LUMPUR: Strategi penetapan harga lebih rasional oleh syarikat telekomunikasi mudah alih sejak awal tahun ini dijangka menjadi pemacu pertumbuhan hasil industri, sekali gus menyokong prestasi kewangan pemain utama sektor berkenaan pada separuh kedua 2026.
Penganalisis CIMB Securities, Choong Chen Foong, berkata dari Januari hingga Jun 2026, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile melaksanakan pengoptimuman harga menerusi pendekatan menawarkan nilai lebih tinggi kepada pelanggan, termasuk kuota data lebih besar serta peningkatan had kelajuan internet bagi pelbagai pelan.
Menurutnya, sebagai pertukaran, pelanggan perlu membayar harga lebih tinggi bergantung kepada jenis pelan yang dipilih.
"Bagaimanapun, kesan daripada strategi ini dijangka mula dilihat pada separuh kedua tahun ini apabila lebih ramai pelanggan beralih kepada pelan baharu, sekali gus meningkatkan Purata Hasil Per Pengguna (ARPU) prabayar secara beransur-ansur dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Perkembangan ini mendorong semakan naik terhadap unjuran pertumbuhan hasil perkhidmatan mudah alih industri kepada dua hingga tiga peratus bagi 2026 dan 2027, berbanding satu peratus sebelum ini.
"Sekiranya dicapai, ia akan menjadi kadar pertumbuhan paling kukuh sejak 2013," katanya dalam nota penyelidikan.
Chen Foong berkata, setiap peningkatan satu mata peratusan dalam pertumbuhan hasil mudah alih hasil pengoptimuman harga dianggarkan mampu meningkatkan keuntungan bersih teras CelcomDigi dan Maxis sekitar tiga hingga lima peratus.
Menurutnya, pertumbuhan hasil itu turut dijangka membantu mengimbangi kesan perakaunan ekuiti susulan kerugian bersih Digital Nasional Bhd (DNB), sekali gus menyokong ketahanan keuntungan Maxis serta pertumbuhan berterusan keuntungan CelcomDigi.
Kementerian Kewangan pula dijangka menyempurnakan pemindahan saham DNB kepada syarikat telekomunikasi menjelang akhir suku ketiga tahun ini.
Sekiranya pemindahan itu selesai seperti dijangka, CelcomDigi, Maxis dan YTL Power International Bhd akan mula mengambil kira pegangan masing-masing sebanyak 33.33 peratus dalam kerugian bersih DNB.
CIMB Securities menganggarkan kerugian bersih DNB berkurangan kepada sekitar RM700 juta pada 2026, RM500 juta pada 2027 dan RM300 juta pada 2028.
Dalam perkembangan lain, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka memulakan semakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) sekitar September atau Oktober ini.
Pelaksanaan piawaian baharu itu dijangka memberi kesan pencairan sederhana sekitar empat peratus terhadap ARPU Unifi milik Telekom Malaysia Bhd bagi tempoh 2027 hingga 2028.
CIMB Securities turut menjangkakan Axiata Group Bhd menyelesaikan penjualan 63 peratus kepentingannya dalam Edotco pada separuh kedua 2026 dengan anggaran nilai RM4.34 bilion.
Hasil daripada penjualan itu dijangka digunakan terutamanya bagi mengurangkan hutang, sekali gus berpotensi meningkatkan kapasiti pembayaran dividen syarikat.
Selain itu, Telekom Malaysia berpotensi melaksanakan pembelian balik saham dan pembayaran dividen khas selaras rancangan pengoptimuman struktur modalnya.
Sementara itu, Time dotCom Bhd diunjurkan membayar dividen lebih tinggi sebanyak 47.5 sen pada separuh kedua tahun ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan strategi struktur modal syarikat.
























