BH Online
Ringkasan Berita

APEC perkukuh kerjasama data, Visi Putrajaya 2040 terus jadi panduan

CHENGDU: Legasi Visi Putrajaya 2040 terus menjadi panduan utama rantau Asia-Pasifik apabila ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bersepakat menjadikan data sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital.
APEC perkukuh kerjasama data, Visi Putrajaya 2040 terus jadi panduan

CHENGDU: Legasi Visi Putrajaya 2040 terus menjadi panduan utama rantau Asia-Pasifik apabila ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bersepakat menjadikan data sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Kenyataan Pengerusi Meja Bulat Peringkat Tinggi Data untuk Pertumbuhan APEC yang dikeluarkan di sini.

Berdasarkan kenyataan itu, ekonomi anggota APEC menegaskan semula komitmen bersama di bawah Visi Putrajaya 2040 untuk membina komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 demi kemakmuran rakyat serta generasi akan datang.

Ekonomi anggota turut mengiktiraf bahawa teknologi digital menawarkan peluang besar untuk memupuk inovasi, meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi serantau, manakala data memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan teknologi digital.

Bagi merealisasikan matlamat itu, APEC akan memperkukuh kerjasama serantau bagi meningkatkan ketersediaan data, menghapuskan halangan kepada perkhidmatan digital serta menggalakkan penggunaan data secara lebih meluas, tanpa mengabaikan prinsip APEC yang berasaskan sukarela, tidak mengikat dan pembinaan konsensus.

"Bagi memanfaatkan nilai data dengan lebih baik untuk inovasi, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi, serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan ekonomi anggota, kami berusaha memupuk persekitaran yang terbuka dan kondusif bagi akses serta penggunaan data," katanya.

Dalam aspek keselamatan siber dan perlindungan pengguna, ekonomi anggota menyokong pembentukan persekitaran dasar yang dapat memudah cara aliran data rentas sempadan bagi meningkatkan keyakinan pasaran serta kepercayaan pengguna dan komuniti perniagaan.

Pada masa sama, pelaksanaan dasar itu akan memastikan aspek keselamatan, perlindungan data, privasi serta penghormatan terhadap hak harta intelek terus dipelihara.

Bagi memperkukuh daya saing ekonomi tempatan, APEC turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kemahiran digital dan keupayaan inovasi supaya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pihak berkepentingan lain dapat memanfaatkan teknologi digital dan sumber data bagi merangsang inovasi serta pertumbuhan ekonomi.

Kenyataan itu turut menggariskan usaha memperluaskan penggunaan data secara bertanggungjawab bagi menyokong penyelidikan saintifik, inovasi teknologi, pembangunan industri dan pemodenan perkhidmatan awam, selain mempercepat pengkomersialan teknologi baharu.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem digital serantau, APEC akan meneruskan dialog mengenai pembangunan infrastruktur data yang boleh dipercayai, mudah diakses, berskala, selamat dan berdaya tahan.

Langkah itu turut merangkumi usaha meningkatkan saling kendali antara sistem data bagi mengurangkan fragmentasi, mengelakkan pembentukan silo data yang tidak perlu serta memaksimumkan nilai sumber data di seluruh rantau Asia-Pasifik.

Penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk penggubal dasar, pengawal selia dan komuniti perniagaan akan terus diperkukuh bagi menggalakkan perkongsian maklumat secara sukarela serta meningkatkan kesalingoperasian antara pelbagai pendekatan tadbir urus data.

Pada masa sama, kerjasama antara sektor perniagaan, institusi penyelidikan dan pihak berkepentingan lain akan dipertingkat menerusi perkongsian pengalaman serta program pembangunan kapasiti bagi memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati secara lebih meluas.

Sebagai kesimpulan, APEC berpandangan dialog dan kerjasama yang berterusan akan membolehkan rantau Asia-Pasifik memanfaatkan sepenuhnya peranan data dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Sehubungan itu, ekonomi anggota digalakkan terus berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan kemajuan yang dicapai, selain meneroka peluang kerjasama baharu di bawah rangka kerja APEC, termasuk menerusi Kumpulan Pemandu Ekonomi Digital (DESG) dan Subkumpulan Privasi Data (DPS).

Video Terkini

Berita Berkaitan