BH Online
Ringkasan Berita

AI ubah cara rakyat urus kewangan harian

Di era digital hari ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin meluas digunakan dalam pelbagai sektor, termasuk industri perbankan. Kebanyakan perbincangan mengenai AI dalam sektor perbankan lebih tertumpu kepada bagaimana institusi kewangan memanfaatkan teknologi ini bagi meningkatkan kecekapan operasi.
AI ubah  cara rakyat urus kewangan harian

Gambar hiasan.

Di era digital hari ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin meluas digunakan dalam pelbagai sektor, termasuk industri perbankan. Kebanyakan perbincangan mengenai AI dalam sektor perbankan lebih tertumpu kepada bagaimana institusi kewangan memanfaatkan teknologi ini bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Pendekatan itu turut diperkukuh menerusi strategi ADD (AI, Digital dan Data) yang menjadi fokus utama serta asas kepada setiap inovasi perbankan di OCBC. Namun, manfaat yang dinikmati pengguna juga sama penting, selari dengan perkembangan pesat perbankan digital yang semakin canggih.

Syed Abdull Aziz Syed Kechik CEO of OCBC Al-Amin
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Bhd, Syed Abdull Aziz Syed Kechik.

Manfaat AI kepada pengguna

AI membolehkan aplikasi dan platform perbankan menganalisis corak perbelanjaan pengguna secara automatik. Melalui analisis itu, pengguna dapat memahami dengan lebih jelas corak perbelanjaan mereka, mengenal pasti kategori yang paling banyak menyumbang kepada perbelanjaan serta menilai tabiat kewangan yang boleh diperbaiki.

Perbelanjaan kecil seperti pesanan makanan atau langganan bulanan yang jarang digunakan sering kali tidak disedari sehingga jumlahnya terkumpul dan menjadi beban pada penghujung bulan. AI membantu mengesan corak itu lebih awal sekali gus membolehkan pengguna mengurus kewangan dengan lebih berkesan.

Selain itu, AI turut berupaya memberikan nasihat kewangan yang diperibadikan mengikut profil dan keperluan pengguna. Teknologi ini boleh mencadangkan pelan simpanan, pelaburan atau strategi pengurusan hutang berdasarkan data kewangan setiap individu.

Sebagai contoh, OCBC melancarkan OCBC WoW pada 1 Julai 2026, iaitu aplikasi perbankan mudah alih pertama di Asia Tenggara yang dibangunkan sepenuhnya berasaskan AI. Aplikasi itu menampilkan dua avatar, Wendy dan Wayne, yang berfungsi sebagai pembantu khidmat pelanggan secara masa nyata menerusi suara atau teks pada bila-bila masa.

Walaupun OCBC WoW masih berada dalam fasa beta dan hanya ditawarkan di Singapura ketika ini, aplikasi itu dijangka diperkenalkan secara berperingkat di pasaran lain di rantau ini, termasuk dengan sokongan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa interaksi.

Perkembangan ini menunjukkan potensi AI dalam membantu pelanggan mengurus kewangan dengan lebih berkesan, termasuk merancang simpanan, mendapatkan perlindungan takaful serta membina kekayaan jangka panjang melalui penyelesaian kewangan yang lebih diperibadikan.

Pendekatan itu menjadikan pengurusan kewangan lebih mudah dan kurang membebankan, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai pengurusan kewangan.

Secara tidak langsung, AI turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi kewangan, terutama bagi mereka yang kurang yakin dengan istilah perbankan atau pelaburan. Teknologi ini mampu menerangkan konsep kewangan yang kompleks dalam bahasa yang lebih mudah difahami, sama ada kepada golongan muda, penyimpan kali pertama mahupun individu yang kurang terdedah kepada perancangan kewangan secara sistematik.

Semakin awal seseorang didedahkan kepada tabiat kewangan yang baik, semakin kukuh asas kewangan yang dapat dibina untuk masa hadapan. Dengan itu, pengguna dapat mengurus kewangan mereka secara lebih berkesan.

Beringat sebelum terkena

Selain membantu pengurusan kewangan, AI turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan aspek keselamatan. Antara kelebihan utama teknologi ini ialah keupayaannya mengenal pasti potensi risiko kewangan sebelum ia berlaku.

Sistem AI mampu mengesan transaksi luar biasa atau mencurigakan secara masa nyata sebelum mengeluarkan amaran kepada pengguna atau menyekat transaksi berkenaan.

Sebagai contoh, transaksi dalam jumlah yang besar kepada akaun penerima di luar negara akan dikenal pasti sebagai transaksi luar biasa dan pengguna akan diminta membuat pengesahan terlebih dahulu. Proses pengesahan itu hanya boleh dilakukan oleh pemilik akaun melalui kaedah keselamatan yang ditetapkan.

Keupayaan ini membantu mengurangkan risiko penipuan, pengubahan wang haram, penyalahgunaan kad dan kecurian identiti, malah transaksi mencurigakan boleh dibekukan sebelum ia berjaya dilaksanakan.

Dalam keadaan kes penipuan dalam talian yang semakin meningkat, penyelesaian berasaskan AI menjadi semakin penting kerana teknologi ini mampu beroperasi sepanjang masa untuk mengesan ancaman dengan lebih pantas.

AI juga dimanfaatkan untuk mempercepatkan pelbagai urusan perbankan seperti permohonan pinjaman, pembukaan akaun dan pengesahan identiti. Pengguna tidak lagi perlu menunggu lama atau mengisi pelbagai borang kerana kebanyakan proses kini telah diautomatikkan.

Proses yang sebelum ini mengambil masa beberapa hari kini boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa minit, sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan dan menjimatkan masa mereka.

Selain itu, hampir semua aplikasi perbankan digital kini dilengkapi kemudahan chatbot berasaskan AI yang membolehkan pengguna mendapatkan bantuan pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu waktu operasi bank.

Sama ada untuk menyemak baki akaun, mendapatkan maklumat produk atau menyelesaikan masalah teknikal, AI mampu memberikan respons yang pantas dan tepat.

Sebagai contoh, pelanggan yang mengesan transaksi mencurigakan pada waktu malam tidak perlu menunggu sehingga keesokan hari untuk mendapatkan bantuan kerana sokongan dan maklum balas boleh diperoleh dengan segera.

Impak AI terhadap landskap masa hadapan

Perkembangan AI dijangka terus mengubah landskap perbankan pada masa hadapan. Dengan keupayaan mempelajari corak tingkah laku pengguna secara berterusan, bank berupaya menawarkan perkhidmatan yang lebih proaktif dan responsif.

Contohnya, AI boleh mengingatkan pengguna mengenai komitmen pembayaran yang bakal tiba, mencadangkan sasaran simpanan berdasarkan corak pendapatan atau mengenal pasti perubahan luar biasa dalam tabiat perbelanjaan sebelum ia menjejaskan kedudukan kewangan pengguna.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan, malah membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih yakin dan berasaskan maklumat.

Walau bagaimanapun, penggunaan AI bukan bertujuan menggantikan peranan manusia sepenuhnya. Sebaliknya, teknologi ini melengkapkan kepakaran pegawai bank dengan mempercepatkan proses analisis data dan menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap.

Gabungan AI dan pertimbangan manusia membolehkan institusi kewangan mengekalkan keseimbangan antara inovasi, keselamatan dan kepercayaan pelanggan.

Kesimpulan

Integrasi AI dalam sistem perbankan membawa pelbagai manfaat kepada pengguna. Daripada pengurusan kewangan yang lebih tepat dan nasihat yang diperibadikan kepada keselamatan yang dipertingkatkan, urusan perbankan yang lebih lancar, sokongan pelanggan sepanjang masa serta peningkatan literasi kewangan, AI membantu pengguna mengurus kewangan dengan lebih cekap, selamat dan yakin.

Di OCBC, kami akan terus melabur dalam teknologi ini bagi memastikan pengalaman perbankan pelanggan kekal relevan dan memenuhi keperluan semasa. Setiap inovasi juga berpaksikan prinsip amanah dan keadilan yang menjadi teras perbankan Islam supaya pelanggan bukan sahaja menikmati kemudahan teknologi, malah yakin kepentingan mereka sentiasa dilindungi.

Penggunaan AI yang bertanggungjawab, disokong tadbir urus yang baik serta kesedaran pengguna, akan menjadi faktor penting dalam membentuk ekosistem kewangan yang lebih mampan. Dengan memanfaatkan teknologi ini secara bijak, pengguna bukan sahaja dapat mengurus kewangan harian dengan lebih berkesan, malah lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan pada masa hadapan.

## Penulis ialah ialah Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Bhd

Video Terkini

Berita Berkaitan