KUALA LUMPUR: Import durian China melonjak 47 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong peningkatan ketara bekalan dari Thailand dan Malaysia, namun lebihan bekalan mula memberi tekanan kepada harga pasaran, lapor South China Morning Post.
Katanya, berdasarkan data kastam China, Thailand mengeksport durian bernilai hampir AS$3.79 bilion ke negara itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menguasai kira-kira 81 peratus bahagian pasaran import durian China.
Jumlah berkenaan meningkat berbanding AS$2.56 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, yang turut mewakili hampir 81 peratus daripada keseluruhan import durian China.
Vietnam pula menduduki tempat kedua dengan nilai eksport sebanyak AS$846 juta atau 18 peratus daripada keseluruhan penghantaran durian ke China bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Thailand terus mengekalkan kelebihan dalam pasaran China berikutan reputasi kukuh dalam kalangan pengguna, disokong sistem logistik matang serta kawalan kualiti yang lebih tersusun.
Sementara itu, Malaysia yang masih baharu dalam pasaran durian segar China merekodkan peningkatan ketara apabila nilai eksport durian negara itu mencecah AS$30.26 juta dalam tempoh enam bulan pertama 2026.
Jumlah berkenaan melonjak 342 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, berdasarkan data kastam China.
Secara keseluruhan, jumlah import durian China daripada semua negara meningkat kepada 1.07 juta tan pada separuh pertama tahun ini berbanding 708,000 tan dalam tempoh sama 2025.
Perkembangan itu disokong peluasan perkhidmatan Kereta Api China-Laos serta pertumbuhan platform e-dagang China yang meningkatkan eksport durian Asia Tenggara ke pasaran pengguna terbesar dunia.
China kini menjadi pasaran durian terbesar dunia dengan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan durian dunia dimakan di negara berkenaan.
Bagaimanapun, peningkatan pengeluaran di Thailand, Malaysia dan Vietnam kini menyebabkan industri berdepan lebihan bekalan ketika musim tuaian utama berlangsung.
Penasihat Akademi Durian Malaysia, Lim Chin Khee, berkata ketiga-tiga negara pengeluar itu kini mengalami keadaan lebihan bekalan apabila pengeluaran ladang berkembang lebih pantas berbanding pertumbuhan permintaan.
"Permintaan dari China kekal kukuh dalam jangka panjang, tetapi ia tidak berkembang pada kadar sama seperti pengeluaran, menyebabkan tekanan penurunan harga ketika musim puncak," katanya yang dipetik South China Morning Post.
Beliau berkata, harga borong durian di China semakin lembut berikutan peningkatan bekalan daripada pelbagai sumber, inventori yang lebih tinggi serta perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati.
Laporan media Asia Tenggara menganggarkan harga durian di China menurun antara 14 hingga 20 peratus setakat tahun ini.
Di Malaysia, Lim berkata kematangan pokok durian yang ditanam antara enam hingga 10 tahun lalu turut menyumbang kepada peningkatan pengeluaran yang mencetuskan lebihan bekalan.
Bernama pada 2 Julai lalu melaporkan, pegawai pertanian Malaysia telah meminta Pentadbiran Am Kastam China (GAC) membuka laluan penghantaran darat bagi memendekkan tempoh penghantaran durian ke pasaran China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan kepada pekebun durian di Johor bahawa isu penurunan harga durian akan dibincangkan bersama Perdana Menteri China, Li Qiang ketika lawatan beliau ke Beijing pada Ogos.
Sementara itu, Vietnam turut meneruskan kerjasama dengan China bagi meningkatkan eksport durian melalui penambahbaikan aspek kawalan kualiti.
























