ALOR STAR: Penganjuran acara larian denai bertaraf antarabangsa, The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2026 pada 31 Julai ini dijangka bakal menjana limpahan ekonomi setempat bernilai RM7.8 juta.
Acara berskala besar yang menelan kos penganjuran dianggarkan hampir RM2 juta itu disasarkan mampu menarik kehadiran kira-kira 11,400 pengunjung serta 4,200 peserta dari dalam dan luar negara.
Suntikan dana secara terus ini diyakini akan memberi manfaat kepada kelangsungan perniagaan peniaga kecil, usahawan tempatan, pengusaha inap desa, pemandu e-hailing serta sektor perkhidmatan pelancongan di daerah berkenaan.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Mohd Bukhari Ismail dalam satu kenyataan berkata, TMB100 bukan sekadar sebuah perlumbaan, malah turut menjadi platform mempromosikan Baling sebagai destinasi sukan pelancongan bertaraf antarabangsa.
"Acara selama dua hari ini juga menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan di daerah Baling serta negeri Kedah secara keseluruhannya," katanya semasa sidang media di sini semalam.
Penganjuran yang memasuki tahun keempat ini terus mendapat sokongan kukuh sektor korporat menerusi tajaan jenama seperti Pro Apparel Asia, Boom+, Checkpointspot, EQool Enviro Sdn. Bhd. dan Brooks.
Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhamad Radhi Mat Din dan Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya.
Bagi menambah nilai komersial, penganjuran kali ini buat pertama kalinya membawa acara The Cultural Jam dengan kerjasama Baling Escapade Festival (BEF) 2026 sempena perlumbaan berkenaan.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, festival berkenaan mendapat tajaan rasmi daripada Smartfix Pro Centre, iaitu rangkaian pusat pakar servis dan baik pulih gajet terkenal di wilayah utara.
Menurut beliau, penganjuran festival itu bermatlamat menggalakkan keusahawanan tempatan melibatkan peniaga di Baling dan kawasan sekitar, selain mempromosi seni budaya serta makanan tradisi melalui Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
Memperkukuhkan lagi inisiatif ini, kedua-dua acara berkenaan mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC), Tourism Kedah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Majlis Daerah Baling.






















