zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Lonjakan harga minyak mentah dunia sekiranya melepasi paras AS$100 setong dijangka menjadi cabaran baharu kepada ekonomi Malaysia apabila meningkatkan tekanan terhadap kedudukan fiskal kerajaan, kos operasi perniagaan serta harga barangan dan perkhidmatan pada separuh kedua tahun ini.
Kenaikan komoditi strategik itu bukan sahaja menambah beban perbelanjaan subsidi bahan api, malah berpotensi menjejaskan momentum usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor ekonomi.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata impak paling ketara ketika ini dapat dilihat menerusi peningkatan mendadak perbelanjaan subsidi petrol dan diesel yang perlu ditanggung kerajaan.
Beliau berkata, perbelanjaan subsidi melonjak daripada sekitar RM800 juta sebulan pada Januari dan Februari kepada RM4.7 bilion pada Mac serta RM4.8 bilion pada April, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kedudukan kewangan kerajaan.
"Justeru, sasaran defisit fiskal mungkin perlu disemak semula sekiranya tekanan terhadap harga minyak dunia berterusan. Setakat lima bulan pertama 2026, defisit fiskal kerajaan telah mencecah RM35.5 bilion, berbanding RM33.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu," katanya kepada BH.
Mohd Afzanizam berkata, tekanan itu bukan hanya dirasai kerajaan, sebaliknya turut mula memberi kesan kepada syarikat yang bergantung kepada penggunaan bahan api dalam operasi harian, khususnya sektor pengangkutan yang tidak menikmati subsidi seperti perkapalan dan pengangkutan kargo udara.
Katanya, peningkatan kos bahan api dan logistik lazimnya akan dipindahkan secara berperingkat kepada pengguna, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi, sebagaimana ditunjukkan oleh Indeks Harga Pengeluar (PPI) yang meningkat kepada 7.8 peratus pada Mei berbanding 5.4 peratus pada April.
Mengulas kedudukan PETRONAS, beliau berkata, syarikat tenaga nasional itu masih perlu mengimbangi keperluan mengekalkan perbelanjaan modal yang tinggi bagi aktiviti cari gali, menjamin keselamatan bekalan tenaga negara serta menyerap peningkatan kos pengangkutan dan insurans.
"Justeru, dalam keadaan semasa, dividen PETRONAS dijangka kekal pada RM20 bilion tahun ini kerana syarikat perlu terus berhemah dalam menguruskan kedudukan kewangannya," katanya.
Beliau berkata, antara sektor yang dijangka paling terkesan sekiranya harga minyak kekal tinggi ialah pengangkutan termasuk perkapalan, penerbangan dan logistik, selain industri pembuatan seperti plastik, bahan kimia, resin, pembungkusan dan baja yang bergantung kepada produk berasaskan petroleum. Sektor pembinaan serta perladangan juga dijangka berdepan peningkatan kos input.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan perlu mempercepat agenda peralihan tenaga, menggalakkan penggunaan teknologi seperti Flexible Working Arrangement (FWA) bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta memperkukuh hubungan dengan negara pengeluar minyak bagi memastikan bekalan kekal stabil.
Pada masa sama, beliau menegaskan komunikasi strategik kerajaan perlu diperkasakan menerusi penyelarasan maklumat oleh satu agensi supaya rakyat serta komuniti perniagaan menerima maklumat yang jelas dan konsisten ketika berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Sementara itu, Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata kesan harga minyak mentah melepasi AS$100 setong tidak boleh dinilai hanya berdasarkan peningkatan hasil petroleum kerana implikasinya jauh lebih luas terhadap keseluruhan ekonomi negara.
Beliau berkata, walaupun Malaysia masih mempunyai industri minyak dan gas yang besar serta kekal sebagai pengeksport bersih tenaga apabila mengambil kira petroleum dan gas asli cecair (LNG), negara pada masa sama turut mengimport minyak mentah serta produk petroleum bertapis dalam jumlah yang besar.
"Sebagai contoh, pada suku ketiga 2025, nilai import minyak mentah dan kondensat mencecah RM16 bilion, manakala import produk petroleum bertapis berjumlah RM24.1 bilion. Ini bermakna Malaysia bukan sahaja terdedah kepada kenaikan harga minyak mentah, malah turut menanggung peningkatan kos penapisan, pengangkutan, insurans dan bekalan bahan api serantau," katanya.
Jelas Samirul, dari sudut pertumbuhan ekonomi, harga minyak yang tinggi mampu merangsang aktiviti huluan minyak dan gas, perkhidmatan petroleum, kejuruteraan luar pesisir serta ekonomi negeri pengeluar seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu, selain menyokong imbangan perdagangan tenaga negara.
Bagaimanapun, katanya, manfaat itu boleh diimbangi oleh kelembapan penggunaan domestik apabila peningkatan kos bahan api, pengangkutan dan harga barangan menghakis pendapatan sebenar isi rumah, sekali gus menyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan manakala syarikat menjadi lebih berhati-hati untuk mengembangkan operasi atau mengambil pekerja baharu.
Beliau berkata, tekanan inflasi juga dijangka meningkat secara berperingkat apabila kenaikan harga minyak diterjemahkan kepada kos petrol, diesel dan bahan api penerbangan sebelum merebak kepada tambang pengangkutan, kos penghantaran, makanan, bahan binaan, perkhidmatan dan akhirnya harga runcit, walaupun subsidi RON95 serta diesel mampu menangguhkan sebahagian tekanan itu.
Beliau berkata, sekiranya harga minyak melebihi AS$100 setong berterusan, kedudukan fiskal kerajaan dijangka terus tertekan kerana perbelanjaan subsidi boleh meningkat lebih pantas berbanding pertambahan hasil petroleum.
Pada harga sekitar AS$90 setong, subsidi RON95 dan diesel dianggarkan mencecah RM3.5 bilion sebulan, malah pernah meningkat kepada RM5 bilion pada Mac 2026 dan RM7.5 bilion pada April 2026 ketika gangguan bekalan memuncak.











_(1)_1784879692.jpg)












