KUALA LUMPUR: Pengumuman terkini Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas 60 ekonomi, termasuk tarif 10 peratus ke atas Malaysia di bawah siasatan Seksyen 301, dijangka tidak menjejaskan trajektori pertumbuhan ekonomi negara secara ketara, menurut penganalisis.
Sebaliknya, penganalisis berpandangan bahawa impak langkah itu adalah terkawal memandangkan prestasi eksport Malaysia ke AS kekal kukuh, selain kadar tarif yang dikenakan masih kompetitif berbanding beberapa negara serantau.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata buat masa ini, pertumbuhan eksport ke AS meningkat dengan kadar yang memberangsangkan.
Beliau berkata, pertumbuhan eksport ke AS melonjak 54.9 peratus kepada RM173.4 bilion bagi tempoh enam bulan 2026.
Malah, katanya, eksport ke AS mewakili 17.8 peratus daripada jumlah eksport setakat enam bulan 2026 dan nisbah itu melebihi eksport ke Singapura (13.8 peratus) dan China (11.0 peratus).
Menurutnya, dalam tempoh enam bulan ini, kadar tarif import adalah 10 peratus setelah Mahkamah Agong AS membatalkan keputusan kerajaan AS untuk tarif timbal balas pada 20 Februari yang lalu.
Sebelum keputusan itu, beliau berkata, kadar tarif import adalah 19 peratus.
"Namun, kadar 10 peratus hanya boleh dikuatkuasakan selama lima bulan dan ia bakal berakhir pada Julai ini. Justeru, penggunaan Akta 301 ini dilihat boleh memanjangkan 'hayat' dasar perlindungan ini.
"Justeru, seharusnya kesannya adalah terkawal dan prestasi bagi enam bulan pertama boleh dijadikan sandaran kepada apa yang bakal berlaku bagi tempoh akan datang," katanya kepada BH mengulas kesan pengumuman tarif terkini AS itu.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata, tindakan AS yang mengaitkan tarif dengan isu buruh paksa perlu dijadikan peringatan kepada komuniti perniagaan tempatan supaya terus mematuhi piawaian dan perundangan antarabangsa.
Katanya, kerjasama lebih erat antara kementerian serta agensi berkaitan penting bagi membantu syarikat Malaysia memenuhi keperluan pasaran global dan mengekalkan akses eksport.
Beliau turut menegaskan usaha mempelbagaikan pasaran eksport perlu diteruskan, di samping meningkatkan kecekapan pelaksanaan dasar kerajaan bagi mengurangkan kos serta mempercepat urusan perniagaan.
Sementara itu, Kenanga Research berpendapat langkah Seksyen 301 itu lebih bersifat pelarasan perdagangan yang terkawal berbanding perubahan besar kepada prospek ekonomi Malaysia.
Katanya, Malaysia juga masih berada pada kedudukan yang relatif lebih baik berbanding beberapa pesaing serantau kerana kadar tarif yang dikenakan adalah lebih rendah.
Menurutnya, tumpuan pelabur selepas ini dijangka lebih terarah kepada pendedahan mengikut kategori produk, kelayakan pengecualian tarif serta kemampuan Malaysia mengekalkan klasifikasi tarif sedia ada berbanding isu tarif mengikut negara semata-mata.
Firma itu turut mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia di hujung atas julat 4.5 hingga 5.0 peratus bagi 2026, disokong oleh permintaan luar yang kekal kukuh.
Ia turut menjangkakan eksport negara berkembang 9.7 peratus tahun ini berbanding 6.4 peratus pada 2025, selain lebihan akaun semasa kekal sihat pada 2.1 peratus daripada KDNK.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak pula berpendapat bahawa kesan sebenar tarif itu terhadap daya saing Malaysia bergantung kepada kedudukan relatif negara berbanding pesaing serantau.
"Jika negara ASEAN lain dikenakan kadar tarif yang sama atau lebih tinggi, kedudukan Malaysia tidak banyak berubah.
"Namun jika ada negara menerima kadar lebih rendah atau dikecualikan, produk Malaysia mungkin menjadi kurang kompetitif dari segi harga," katanya.
Sementara itu, Mohd Idham juga melihat peluang baharu kepada Malaysia susulan penyusunan semula rantaian bekalan global apabila syarikat multinasional berusaha mempelbagaikan lokasi pengeluaran bagi mengurangkan pendedahan kepada risiko tarif.
Katanya, Malaysia boleh memanfaatkan peluang itu sebagai destinasi alternatif, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pembuatan bernilai tambah.
Selain itu, katanya, Malaysia juga boleh memperkukuh kedudukan sebagai hab perdagangan serantau dengan meningkatkan integrasi dalam rantaian bekalan ASEAN dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.
"Namun, untuk merealisasikan peluang ini, faktor seperti kecekapan dasar, kemudahan pelaburan, dan kestabilan peraturan adalah sangat penting," katanya.
























